Rakan...

Khamis, 27 Oktober 2011

Puisi: Renungan Malam

Assalamualaikum....
Puisi kali ini dicipta setelah mendapat ilham sewaktu berada di rumah pada musim cuti. Pada malam itu, bekalan elektrik terputus, disertakan pula dengan hujan yang lebat. Walaupun rumahku banglo, namun bila ketiadaan sumber tenaga elektrik, masih lagi menggunakan lilin atau dian untuk menerangi gelap malam. Justeru, sewaktu menantikan bekalan elektrik elok kembali, aku cuba merenung diri di samping mengingati detik-detik kejadian sebegitu sewaktu aku masih kecil dan waktu itu, aku menetap di rumah datuk nenekku, iaitu sebuah rumah papan yang penuh kenangan...:)

Malam ini,
Diselubungi dengan kegelapan,
Kerna kuasa cahaya arus kemodenan,
Hilang entah ke mana…

Malam ini,
Hanya bertemankan sinar cahaya dian,
Malap namun cukup berharga,
Menyinari diri dalam kegelapan,
Memberi insan secebis harapan…

Malam ini,
Kesunyian dipecahkan oleh titisan hujan,
Membawa nada ketenangan bagi insan kesepian,
Kerna titisan rahmat membuahkan keinsafan,
Buat insan yang bersyukur kepada Tuhan…

Malam ini,
Kumerenung diri ini,
Tercari-cari arah tujuan,
Kerna masa depan yang bakal ditempuhi,
Pasti penuh ujian dan dugaan…

Malam ini,
Pasti akan berlalu pergi,
Kerna esok pasti hadir,
Hadir membawa seribu erti,
Yang akan membawa perubahan diri,
Yang lahir dari perubahan hati…

Rabu, 26 Oktober 2011

Puisi: Nasyid oh Nasyid...


Nasyid oh nasyid,
Terciptanya kerna agama,
Mengingatkan Tuhan dan Rasul-Nya,
Agar tidak leka dalam berkarya,
Membawa ketenangan dalam jiwa...

Nasyid oh nasyid,
Zikir dan doa jadi senikata,
Mutiara kata pengubat duka,
Hati terhibur setiap masa,
Agar tiada leka hidup di dunia...

Nasyid oh nasyid,
Tatkala hati gundah gulana,
Kedengarannya menghiburkan jiwa,
Kerna harmoninya gabungan suara,
Yang dialunkan kerna agama...

Nasyid oh nasyid,
Bait kata-kata menyedarkan kita,
Buat renungan umat manusia,
Jangan leka hidup di dunia,
Kerna hidup hanya seketika...

Nasyid oh nasyid,
Menenangkanku bila berduka,
Lirik lagunya penuh bermakna,
Membawa erti kepada jiwa,
Menjadi santapan setiap masa...

Nasyid oh nasyid,
Dikala sedih dikala gembira,
Sentiasa didengar kepada telinga,
Bagaikan gila namun tidak mengapa,
Kerna nasyid  kuingat kepada-Nya...

Nasyid oh nasyid,
Kebanyakan orang tidak meminatinya,
Kerna dianggap kolot bunyinya,
Tetapi kusetia mendengarnya,
Kerna memahami erti penyampaiannya...

Nasyid oh nasyid,
Ketiadaannya meresahkan jiwa,
Kerna hiburan diperlukan setiap masa,
Menjadi alternatif untuk mengingati-Nya,
Kerna hidup terleka setiap masa...

Nasyid oh nasyid,
Menjadi hiburanku setiap masa,
Semoga kekal selama-lamanya,
Dalam mencari keredhaan-Nya,
Demi menuju Syurga yang didamba...

Nasyid oh nasyid,
Pesanku kepada teman semua,
Layanlah nasyid walaupun seketika,
Fahamilah lirik dan lagunya,
Sedarilah hakikat diri manusia...

Nasyid oh nasyid,
Sampai sini  dahulu kisahnya,
Kerna tidak habis jika dicerita,
Pendek kata nasyidlah menghiburkan kita,
Supaya diri sentiasa tidak leka dan alpa...

Nasyid oh nasyid,
Semoga hadirnya kekal sentiasa,
Menjadi hiburan yang betul caranya,
Kerna berhibur tiada salahnya,
Yang penting kerna-Nya Yang Esa...

Nasyid oh nasyid,
I LOVE NASYID...:) 

Suci Sekeping Hati

Assalamualaikum…

Melihat kepada tajuk di atas, bukanlah ingin berbicara mengenai lagu ‘Suci Sekeping Hati’, nyanyian Saujana tetapi perihal dalam memiliki hati yang baik. Sebelum berbicara lebih lanjut, aku ingin menceritakan, kenapa penulisan ini dibuat?

 Melihat kepada pemerhatian aku, sepanjang hidup ini, ramai manusia yang memiliki hati tetapi jarang yang ada perasaan dan tahu untuk menjaga hati. Ini bukan hanya terjadi kepada golongan biasa tetapi terdapat juga dalam kalangan para ustaz ustazah, para pendakwah, guru-guru agama, dan sebagainya. Jangan salah faham, sebenarnya bukan ingin mengkritik tidak tentu pasal tetapi kita sendiri pun dapat melihatnya.

Buktinya, banyak kes yang tidak elok berlaku bukan hanya melibatkan golongan biasa tetapi melibatkan golongan agama. Ini kerana keimanan tersebut bukan hanya dilihat sekiranya seseorang itu mempunyai ilmu agama yang tinggi, bukan pada pakaian, bukan jua pada gelaran, dan sebagainya tetapi pada ‘HATI’ yang betul-betul sedar dan sentiasa beristiqamah dalam menjaga hati bukan hati sendiri sahaja, namun turut sama menjaga hati orang lain agar jalan menuju ke Syurga kelak lebih mudah tanpa halangan.

Ilmu sememangnya penting tetapi cukupkah hanya dengan ilmu tetapi dalam hati itu memiliki sifat yang tidak elok? Layakkah Syurga jika ilmu yang dimiliki tetapi tidak mampu untuk membuatkan manusia di sekelilingnya merasa selesa dengan sifatnya? Renung-renungkanlah…


Kajian Hati:

Ini melalui pengalaman yang pernah dialami melihat kepada orang yang berada di sekeliling aku. Seseorang itu memiliki ilmu yang jauh lebih baik dari diriku. Sentiasa mengaji al-qur’an, qiamullail, tahlil, solat sunat, puasa sunat, dan semuanya yang dapat membawa aku ke arah kebaikan. Aku bangga dengan sikapnya yang memperlihatkan tanda-tanda untuk menjadi seorang yang soleh. Aku turut sama tertarik untuk berusaha menjadi lebih baik lagi dari sebelum ini. Alhamdulillah.

Namun, aku hairan dan mungkin juga pelik. Kenapa sikapnya yang ke arah kebaikan itu tidak ramai yang disukai oleh orang lain? Mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Hendak komen mengenai ilmu agama rasanya masih belum cukup kerana peribadinya seperti aku ceritakan tadi, mempunyai ilmu yang jauh lebih baik dari aku. 

Adakah sudah menjadi lumrah bahawa kebaikan itu sememangnya susah untuk disukai oleh orang-orang yang tidak mengerti? Persoalan itu muncul di benak fikiranku. Rupa-rupanya, memang ada “Something Wrong”. 

Apa itu? 
Tidak lain tidak bukan,
itulah ‘HATI’

Memang seseorang itu baik, penuh ilmu di dada, dan sentiasa menuju ke arah kebaikan, namun SAYANGNYA, dirinya tidak memiliki hati yang baik walaupun dirinya baik. Cuba fahami betul-betul ayat ini. 
Sambungan cerita tadi ialah melihat kepada ramai yang tidak menyukainya. Ini bukan kerana agama, bukan kerana ilmu, tetapi kerana sifat yang tidak elok bersarang dalam dirinya. Kerana sikapnya itulah yang membuatkan orang di sekelilingnya sentiasa terguris hati. Banyak kali cuba bersabar namun kesabaran itu ada batasnya. Perkara ini bukan dirinya tidak mengetahui tetapi mungkin perasaan bersalah itu sukar wujud dalam dirinya ataupun mungkin sudah terbiasa dengan sikap tersebut.Wallahu'alam...
Dalam berteman, berkomunikasi, dan sebagainya melibatkan orang ramai sememangnya ada caranya tersendiri. Gurauan sekalipun tiada salah jika tidak ke arah keburukan. Tidak perlulah diceritakan di sini. Namun cukuplah dengan melihat;

Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat Mahmudah / terpuji di dalam kitab Arbain Fi Usuluddin iaitu :
1) Taubat .
2) Khauf ( Takut )
3) Zuhud.
4) Sabar.
5) Syukur.
6) Ikhlas.
7) Tawakkal.
8) Mahabbah ( Kasih Sayang )
9) Redha.
10) Zikrul Maut ( Mengingati Mati )

Dan Imam Al-Ghazali juga telah menggariskan sepuluh sifat Mazmumah / tercela / sifat keji di dalam kitab tersebut iaitu :
1) Banyak Makan
2) Banyak bercakap.
3) Marah.
4) Hasad.
5) Bakhil.
6) Cintakan kemegahan.
7) Cintakan dunia .
8) Bangga Diri.
9) Ujub ( Hairan Diri ).
10) Riya' ( Menunjuk-nunjuk ).

Begitulah perihal hati. Bukan mudah untuk menjaga hati walaupun mempunyai ilmu agama yang tinggi. Walaupun sudah tahu dan belajar dan cuba amalkan, namun tetap amat sukar. Cukuplah sampai di sini. Sebagai seorang yang ingin menjaga hati, aku tidaklah mendoakan keburukan buatnya. Aku sentiasa mendoakan orang yang mempunyai perihal tersebut berubah dan sedar akan sikapnya itu. Jangan kerana perkara tersebut nanti menyukarkan diri untuk menuju jalan ke SYURGA yang kekal abadi. Sekian, wallahu’alam bissawab…

Dengarkan: Saujana-Suci Sekeping Hati

Selasa, 25 Oktober 2011

Reformat Hati

Assalamualaikum…

Bagaimana ingin baik hati sampai mati?

Siapa diri dalam hati sendiri?

Begitulah persoalan yang sering bermain dalam fikiran setiap insan yang memiliki sekeping hati. Kali ini ingin membicarakan mengenai sebuah buku yang sudah agak lama dibeli. Perkenalan dengan buku ini tidaklah dirancang kerana aku sebenarnya bukan jenis yang rajin membaca tetapi mungkin sudah suratan untukku memiliki buku tersebut.

Ini kerana buku tersebut memang menarik hati dengan corak penampilannya, kadang-kadang rasa malu untuk membelinya bukan apa, maklumlah ada gambar hati yang besar dan dalam hati itu pula ada bunga-bunga. Bak kata orang, dalam hati ada taman…hehehe..

Tajuk bukunya “REFORMAT HATIMU DALAM 354 HARI” oleh Norudin Draman@UstazCahaya  yang merupakan seorang guru agama, pendakwah, dan penulis bebas, anak kelahiran Bintulu, Sarawak. Aku tertarik dengan bukunya kerana ‘HATI’. Mungkin kajian beliau memang berguna untukku jadikan rujukan dalam menjaga hati.

Kata penulis; Kebanyakan orang sentiasa berusaha untuk menjadi baik hati dan peribadi hanya apabila sewaktu berada dalam bulan Ramadan. Masing-masing menjaga pandangan dan tutur kata agar tidak terkurang pahala puasa. Namun, adakah kita sedar bahawa kita telah benar-benar menjaga hati kita sendiri?
Adakah tempoh sebulan Ramadan sudah lengkap untuk menjadikan kita sebagai seorang Muslim yang telah membersihkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah?
Tempoh 11 bulan Ramadan menuju Ramadan akan datang tempohnya berjumlah 324 hari. Bagaimana mahu reformat hati dalam tempoh itu?

Antara perkara penting yang dibincangkan dalam buku ini ialah:
>Ada apa dengan hati?
>Bagaimana mahu melakukan servis dan pemulihan hati?
>Mencari rahsia kunci kebaikan hati?
>Bagaimana mahu menjadi baik hati sehingga mati?
>Apakah yang harus dilakukan jika hati menjadi sedih?
>Bagaimana mahu mengelakkan diri menjadi ‘raja hati’?

H- HARAPAN
A-AGAMA (AKIDAH)
T-TAKWA
I-ILMU

Selain itu, dalam buku ini terdapatnya 30 peringatan hati dan pendek kata, semuanya membicarakan tentang hati dari hadis, firman Allah, kata-kata ulamak, dan sebagainya. Insya’Allah, jika menghayati betul-betul apa yang cuba disampaikan oleh penulis, ia dapat dijadikan medium untuk kita jadikan rujukan dalam menjaga hati. Ibaratkan hidup kita ini berada dalam pengajian di
“KULIAH HATI DI AKADEMI KEHIDUPAN”.

Untuk perkongsian dengan teman-teman, aku menghasilkan sebuah video mengenai peringatan hati yang terdapat dalam buku ini. Semoga dapat memberi manfaat kepada semua bila melihat video yang diberi nama ‘BICARA HATI’. Sekian, wassalam…

Puisi: Bidadari Syurga Impianmu

Assalamualaikum...
Hari ini pun tiada penulisan apa-apa, cuma sebuah puisi yang tak seberapa. Kisahnya mengenai insan yang bergelar muslimah yang mempunyai impian untuk menjadi salah seorang bidadari syurga. Oleh itu, muslimah itu sentiasa merenung diri dengan melihat kisah-kisah para bidadari syurga yang sememangnya penuh dengan kisah tersendiri dalam berusaha menjadi muslimah sejati. Walaupun mungkin terdapatnya kekurangan dalam berusaha, cukuplah bagi Sang Suami mempunyai seorang isteri yang dianggapnya sebagai bidadari di dunia atau dalam rumah tangga. Insya'Allah, dengan sedemikian, para muslimah tersebut juga bisa untuk ke syurga bersama suaminya jika taat akan perintah ALLAH S.W.T...Amiin...

Hati dan fikiranmu…
Sering bermonolog sendirian,
Mampukah dirimu menjadi seperti para bidadari Syurga,
Riwayat hidup serikandi dalam cintanya terhadap Ilahi…                     

Hikayat bermula dengan Adam dan Hawa,
Manusia pertama mengenal cinta,
Hidup bahgia di Syurga nan indah,
Dicampakkan ke dunia kerna hasutan syaitan,
Berpisah jua kerna kesilapan,
Taubat mereka sesungguhnya taubat,
Diterima Allah kerna keinsafan,
Bertemu kembali dalam kerahmatan…
                                          
Dirimu ingin segigih dan setabah Siti Hajar,
Ditinggalkan suami kerna perintah Tuhan,
Sabar berharap hanya kepada-Nya,
                Air dicari dari Safa ke Marwah,                            
Lantaran dahaga bersama Ismail tersayang,
Berkat tendangan bakal Nabi akhirnya terserlah,
Terpancut sudah air zam-zam…

Kehormatan dirimu ingin dipelihara,
Seumpama Maryam perawan yang mulia,
Ibarat mawar indah berpagarkan duri,
Akhlak terpuji dan berperibadi tinggi,
Kerna ketekunan, kemuliaan, dan kesucian,
Allah memilih rahimnya yang suci murni,
Untuk menghamilkan Isa seorang Nabi,
Sebagai bukti kebesaran Ilahi…

Kisah Aminah mencipta ketabahanmu,
Dalam kesabaran melahirkan Rasul,
Mengandungkan rahmat memberi keberkatan,
Mengasuh dan mendidik penuh kecintaan,
Hingga terserlah bijak, pandai, dan cerdas,
Meninggalkan yang baik melahirkan kesucian…

Lagenda cinta Siti Khadijah penyeri hidupmu,
Lantaran mengenang agung cintanya terhadap Ilahi,
Kekasih Allah didampingi dalam susah dan senang,
Melahirkan kesetiaan jua keturunan,
Harta ditabur ke medan perjuangan,
Bersama pengorbanan hingga ke akhir hayat…

Terharu hatimu dengan pengorbanan,
Seorang isteri bernama Saudah,
Dipilih Rasul lantaran simpati,
Kerna kekurangan diri merelakan Rasul pergi,
 Terharu Baginda kerna kemuliaan,
Tetap bersama sebagai suami isteri,
Walau giliran diberi ganti…

Kau sering mendidik jiwamu,
Menerbitkan kesabaran seteguh Aisyah,
Bijaksana dalam meniti kesusahan dan pengorbanan,
Lantaran fitnah yang tidak mengenal sesiapa,
Sentiasa tabah demi sebuah hikmah,
Mengharungi arus kehidupan yang penuh ujian…

Mungkinkah tersemai ketaatanmu,
Setelah mendengar kisah Hafsah,
Kelemahan sebagai isteri akhirnya disedari,
Terluka hati Baginda buat seketika,
Lantas memohon keampunan-Nya,
Hingga ketaatannya kepada suami,
Juga kepada Allah melebihi segala-galanya…

Kisah sementara turut jadi renunganmu,
Dalam kemurahan hati Zainab isteri Baginda,
Belas kasihannya wujud dalam kelembutan diri,
Fakir dan miskin terus dibela,
Walau hidup seketika cuma,
Kemuliaan diri menjadi lambang utama…

Sekuat mana pendirian dan peganganmu,
Setelah menghayati kisah Hindun,
Isteri solehah menyejukkan mata,
Penawar hati juga penajam fikiran,
Bijaksana dalam membuat keputusan,
Turunnya wahyu sering disaksikannya,
Memberi keberkatan sepanjang berjuang…

Cabaran hidupmu perlu dititipkan kesabaran,
Agar diganjar Allah seperti Ramlah,
Kesepiannya terisi menerima lamaran Rasulullah,
Pahit getir hidup dilalui bersama,
Akhirnya Islam menjadi agama ayahnya,
Dikabulkan permintaan syukur kepada-Nya,
Maaf  diucap hingga ke akhirnya…

Keliru hatimu dalam pemilihan,
Renungkanlah kisah Zainab puteri Rasulullah,
Walau keliru tetap memilih Tuhan yang Satu,
Walau suaminya kufur tetap memelihara iman,
Demi cinta dapat tempuhi segala rintangan,
Hingga suami merasai keinsafan…

Hatimu hiba melihat pengorbanan,
Puteri solehah bernama Siti Fatimah,
Menanggung penderitaan dengan sabar dan tabah,
Membentuk keteguhan hati dan kuat pendirian,
Taat dan akur dalam setiap perintah,
Bagaikan wangian bunga dari syurga,
Menjadi tempat buat selama-lamanya…

Impianmu ingin secantik dan secerdik Balqis,
Disinari cahaya hidayah mengubah takdirnya,
Cahaya muncul dalam kejahilan diri,
Kerna kebijaksanaan dalam pemilihan,
Memberi ketaatan kepada suami seorang Nabi,
Demi mencari cinta yang hakiki…

Sedarkan dirimu dari diulit rindu,
Dengan kisah Zulaikha yang dambakan cinta,
Pelbagai cara melalaikan hatinya,
Hingga keliru dengan pembohongan,
Bertemu cintanya satu keberkatan,
Kerna cinta itu memberi keinsafan,
Akhirnya sedar ada yang lebih berhak,
Cinta Allah tiada tandingan…

Pilu hatimu mendengar kisah Yukabid,
Kerna anak lelakinya terpaksa dipisahkan,
Peti berisikan Musa dibawa arus sungai,
Namun sampai ke istana Fir’aun,
Dipelihara Asiah penuh kasih sayang,
Walau terpisah berpeluang menyusukan,
Tetap tabah menerima takdir Tuhan…

Dirimu ingin seharum Masyitah,
Wanita mulia pembela agama,
Tidak menyerah kalah walau diseksa,
Tiada gentar juga tiada takut,
Minyak mendidih sanggup direnangi,
Melahirkan keajaiban harum semerbak,
Hingga harumannya sampai ke Syurga…

Jauh di sudut hatimu ingin berkorban,
Ibarat Asiah yang terkorban di tangan Fir’aun,
Dipenjara dan diseksa sedemikian rupa,
Namun hati tetap mengagungkan Allah,
Tangannya juga menyelamatkan Musa,
Sehingga menjadi Nabi terbilang,
Tercipta akhirnya sebuah singgahsana,
Buat Ratu Syahadah di Syurga yang abadi…

Kau dengar kisah Halimah As-Sa’diah,
Ibu susuan juga pengasuh Baginda,
Walau upah tidak seberapa,
Tetap menerima agar mendapat barakah,
Rezeki melimpah mendapat nikmat,
Kerna hati yang mulia dalam rahmat-Nya,
Jasa dikenang sepanjang zaman…
               
Kau jua impikan hati selembut Sumayyah,
Yang dalam kelembutannya tersulam teguhnya iman,
Menjadi lambang wanita solehah,
Syahid pertama dalam pangkuan Islam,
Dibunuh di dunia cuma sementara,
Bersama keluarga Yasir tetap memilih Syurga,
Yang pastinya akan kekal buat selama-lamanya…

Terciptakah kasihmu umpama Barakah,
Ummu Aiman gelarannya dalam sejarah Islam,
Kasihkan Rasulullah tiada tersisih,
Sentiasa bersama dalam keberkatan,
Sesudah Aminah, dialah ibu Baginda,
Kerna jasanya sangat dihargai,
Syurga yang abadi itu balasannya…

Kagum dirimu dengan semangat Nasibah,
Lambang kegagahan seorang wanita,
Memperjuangkan Islam tiada gentar,
Keberanian tercipta di medan peperangan,
Mempertahankan Baginda tiada kejemuan,
Bukti kehebatan seorang wanita,
Syurga buatnya itulah doa Rasul…

Pasrahkan hatimu seperti Rumaisa,
Sentiasa redha dengan ketentuan Tuhan,
Anugerah sementara dirinya mengerti,
Tabahnya hati kerna keimanan,
Sedarkan suaminya tentang pinjaman,
Agar hidup sentiasa bahgia hingga ke Syurga…

Kemuliaan Al-Khansaa’ perlu kau contohi,
Syahdu syairnya memberi semangat,
Hebat bersyair dalam naungan Islam,
Relakan anak-anaknya syahid dalam perang,
Walau kehilangan tetap dalam tenang,
Kerna Syurga pasti jadi balasan…

Ciptakan keberanianmu seperti Khaulah,
Ibarat lelaki sedang berperang,
Menjadi misteri kerna kecekapan,
Hebat bertempur walau seorang wanita,
Harum namanya sepanjang zaman,
Dalam mengenali erti perjuangan…

Kagum dikau  dengan kisahnya,
Asma’ Abu Bakar pertahankan agama,
Rasul dan ayahnya perlu perlindungan,
Sanggup berkorban walau jadi sasaran,
Ditampar dihina dianggap biasa,
Rahsia dijaga tetap terpelihara,
Redha kepada-Nya bersama sentiasa…

Kesetiaanmu perlu dijadikan perhatian,
Setelah membaca kisah Nai’lah,
Bersama suaminya Uthman dalam perjuangan,
Fitnah menyala tanpa disangka,
Suami dipertahankan walau diri tercedera,
Tetap ada setia walau berpisah,
Menjadi hiasan ibarat permata…

Sanggupkah dirimu seperti Zainab binti Ali,
Menyaksikan pelbagai peristiwa dalam perjuangan,
Peristiwa Karbala menguji keimanannya,
Lantaran gugurnya saudara-saudara kesayangan,
Mata menatap darah suci pejuang Islam,
Namun semangatnya tetap dinyalakan,
Mengabdikan diri kepada-Nya hingga akhir hayat…

Pengabdiaan agungnya membuatmu sedar,
Rabiatul Adawiyah taat kepada pencipta,
Kekurangan hidup bukan penghalang,
Keimanan dan ketakwaan tetap bercambah,
Terlatih dirinya berjiwa suci dan bersih,
Berat penderitaan tetap bersabar,
Menuju kepada Zat Allah semata-mata…

Kisah Zubaidah menjadi kebanggaanmu,
Wanita misali bersemangat waja,
Lambang kewanitaan zaman Abbasiyah,
Bijaksana dalam pelbagai bidang,
Mulia dirinya walau berkedudukan,
Kemewahan ditabur ke jalan kebajikan,
Menjadi rujukan seluruh ummah…

Penderitaan Zinnirah menjadi renungan buatmu,
Lantaran pengorbanannya terhadap agama,
Hilang pancaindera tuk melihat dunia,
Kalimah “Allahu Akbar” tetap menjadi sebutan,
Mata bercahaya kembali kerna keteguhan iman,
Menjadi penyeri di Syurga tertinggi…

Kisah Ainul Mardhiah menjadi tarikanmu,
Antara bidadari yang sangat rupawan,
Membakar semangat lelaki dalam berjuang,
Bukti cinta sejati seorang pejuang,
Penantiannya hanya kepada syahid di medan perjuangan,
Membawa ke Syurga kekal selamanya…

Walau kutahu kau tidak mampu,
Akan tetap kuterima seadanya,
Cukuplah dikau menjadi bidadari hidupku,
Kerana aku tidak layak berharap sedemikian rupa,
Cukuplah sekadar dirimu mencontohi bunga-bunga itu,
Agar kasih bersemi kan kembang mekar mewangi,
 Mengharum melewati pintu SYURGA nan abadi…


Rujukan: Buku"Riwayat Bidadari Syurga"-Munif Ahmad