Rakan...

Jangan Lupa Bagi Makan...:) Syukran

Selasa, 19 Februari 2013

Bidadari Syurga Impianmu...

Assalamu'alaikum... 

Ingin sekali kongsikan sebuah puisi yang agak panjang. Puisi ini sudah lama dibuat hasil rujukan buku "Riwayat Bidadari Syurga - Munif Ahmad". Puisi ini ditujukan kepada muslimah di luar sana yang sentiasa mengimpikan dan mengharapkan dirinya dapat mencontohi riwayat hidup para Bidadari Syurga. Insya'Allah... 


Hati dan fikiranmu…
Sering bermonolog sendirian,
Mampukah dirimu menjadi seperti para bidadari Syurga,
Riwayat hidup serikandi dalam cintanya terhadap Ilahi…

Hikayat bermula dengan Adam dan Hawa,
Manusia pertama mengenal cinta,
Hidup bahgia di Syurga nan indah,
Dicampakkan ke dunia kerna hasutan syaitan,
Berpisah jua kerna kesilapan,
Taubat mereka sesungguhnya taubat,
Diterima Allah kerna keinsafan,
Bertemu kembali dalam kerahmatan…

Dirimu ingin segigih dan setabah Siti Hajar,
Ditinggalkan suami kerna perintah Tuhan,
Sabar berharap hanya kepada-Nya,
Air dicari dari Safa ke Marwah,
Lantaran dahaga bersama Ismail tersayang,
Berkat tendangan bakal Nabi akhirnya terserlah,
Terpancut sudah air zam-zam…

Kehormatan dirimu ingin dipelihara,
Seumpama Maryam perawan yang mulia,
Ibarat mawar indah berpagarkan duri,
Akhlak terpuji dan berperibadi tinggi,
Kerna ketekunan, kemuliaan, dan kesucian,
Allah memilih rahimnya yang suci murni,
Untuk menghamilkan Isa seorang Nabi,
Sebagai bukti kebesaran Ilahi…

Kisah Aminah mencipta ketabahanmu,
Dalam kesabaran melahirkan Rasul,
Mengandungkan rahmat memberi keberkatan,
Mengasuh dan mendidik penuh kecintaan,
Hingga terserlah bijak, pandai, dan cerdas,
Meninggalkan yang baik melahirkan kesucian…

Lagenda cinta Siti Khadijah penyeri hidupmu,
Lantaran mengenang agung cintanya terhadap Ilahi,
Kekasih Allah didampingi dalam susah dan senang,
Melahirkan kesetiaan jua keturunan,
Harta ditabur ke medan perjuangan,
Bersama pengorbanan hingga ke akhir hayat…

Terharu hatimu dengan pengorbanan,
Seorang isteri bernama Saudah,
Dipilih Rasul lantaran simpati,
Kerna kekurangan diri merelakan Rasul pergi,
Terharu Baginda kerna kemuliaan,
Tetap bersama sebagai suami isteri,
Walau giliran diberi ganti…

Kau sering mendidik jiwamu,
Menerbitkan kesabaran seteguh Aisyah,
Bijaksana dalam meniti kesusahan dan pengorbanan,
Lantaran fitnah yang tidak mengenal sesiapa,
Sentiasa tabah demi sebuah hikmah,
Mengharungi arus kehidupan yang penuh ujian…

Mungkinkah tersemai ketaatanmu,
Setelah mendengar kisah Hafsah,
Kelemahan sebagai isteri akhirnya disedari,
Terluka hati Baginda buat seketika,
Lantas memohon keampunan-Nya,
Hingga ketaatannya kepada suami,
Juga kepada Allah melebihi segala-galanya…

Kisah sementara turut jadi renunganmu,
Dalam kemurahan hati Zainab isteri Baginda,
Belas kasihannya wujud dalam kelembutan diri,
Fakir dan miskin terus dibela,
Walau hidup seketika cuma,
Kemuliaan diri menjadi lambang utama…

Sekuat mana pendirian dan peganganmu,
Setelah menghayati kisah Hindun,
Isteri solehah menyejukkan mata,
Penawar hati juga penajam fikiran,
Bijaksana dalam membuat keputusan,
Turunnya wahyu sering disaksikannya,
Memberi keberkatan sepanjang berjuang…

Cabaran hidupmu perlu dititipkan kesabaran,
Agar diganjar Allah seperti Ramlah,
Kesepiannya terisi menerima lamaran Rasulullah,
Pahit getir hidup dilalui bersama,
Akhirnya Islam menjadi agama ayahnya,
Dikabulkan permintaan syukur kepada-Nya,
Maaf diucap hingga ke akhirnya…

Keliru hatimu dalam pemilihan,
Renungkanlah kisah Zainab puteri Rasulullah,
Walau keliru tetap memilih Tuhan yang Satu,
Walau suaminya kufur tetap memelihara iman,
Demi cinta dapat tempuhi segala rintangan,
Hingga suami merasai keinsafan…

Hatimu hiba melihat pengorbanan,
Puteri solehah bernama Siti Fatimah,
Menanggung penderitaan dengan sabar dan tabah,
Membentuk keteguhan hati dan kuat pendirian,
Taat dan akur dalam setiap perintah,
Bagaikan wangian bunga dari syurga,
Menjadi tempat buat selama-lamanya…

Impianmu ingin secantik dan secerdik Balqis,
Disinari cahaya hidayah mengubah takdirnya,
Cahaya muncul dalam kejahilan diri,
Kerna kebijaksanaan dalam pemilihan,
Memberi ketaatan kepada suami seorang Nabi,
Demi mencari cinta yang hakiki…

Sedarkan dirimu dari diulit rindu,
Dengan kisah Zulaikha yang dambakan cinta,
Pelbagai cara melalaikan hatinya,
Hingga keliru dengan pembohongan,
Bertemu cintanya satu keberkatan,
Kerna cinta itu memberi keinsafan,
Akhirnya sedar ada yang lebih berhak,
Cinta Allah tiada tandingan…

Pilu hatimu mendengar kisah Yukabid,
Kerna anak lelakinya terpaksa dipisahkan,
Peti berisikan Musa dibawa arus sungai,
Namun sampai ke istana Fir’aun,
Dipelihara Asiah penuh kasih sayang,
Walau terpisah berpeluang menyusukan,
Tetap tabah menerima takdir Tuhan…

Dirimu ingin seharum Masyitah,
Wanita mulia pembela agama,
Tidak menyerah kalah walau diseksa,
Tiada gentar juga tiada takut,
Minyak mendidih sanggup direnangi,
Melahirkan keajaiban harum semerbak,
Hingga harumannya sampai ke Syurga…

Jauh di sudut hatimu ingin berkorban,
Ibarat Asiah yang terkorban di tangan Fir’aun,
Dipenjara dan diseksa sedemikian rupa,
Namun hati tetap mengagungkan Allah,
Tangannya juga menyelamatkan Musa,
Sehingga menjadi Nabi terbilang,
Tercipta akhirnya sebuah singgahsana,
Buat Ratu Syahadah di Syurga yang abadi…

Kau dengar kisah Halimah As-Sa’diah,
Ibu susuan juga pengasuh Baginda,
Walau upah tidak seberapa,
Tetap menerima agar mendapat barakah,
Rezeki melimpah mendapat nikmat,
Kerna hati yang mulia dalam rahmat-Nya,
Jasa dikenang sepanjang zaman…

Kau jua impikan hati selembut Sumayyah,
Yang dalam kelembutannya tersulam teguhnya iman,
Menjadi lambang wanita solehah,
Syahid pertama dalam pangkuan Islam,
Dibunuh di dunia cuma sementara,
Bersama keluarga Yasir tetap memilih Syurga,
Yang pastinya akan kekal buat selama-lamanya…

Terciptakah kasihmu umpama Barakah,
Ummu Aiman gelarannya dalam sejarah Islam,
Kasihkan Rasulullah tiada tersisih,
Sentiasa bersama dalam keberkatan,
Sesudah Aminah, dialah ibu Baginda,
Kerna jasanya sangat dihargai,
Syurga yang abadi itu balasannya…

Kagum dirimu dengan semangat Nasibah,
Lambang kegagahan seorang wanita,
Memperjuangkan Islam tiada gentar,
Keberanian tercipta di medan peperangan,
Mempertahankan Baginda tiada kejemuan,
Bukti kehebatan seorang wanita,
Syurga buatnya itulah doa Rasul…

Pasrahkan hatimu seperti Rumaisa,
Sentiasa redha dengan ketentuan Tuhan,
Anugerah sementara dirinya mengerti,
Tabahnya hati kerna keimanan,
Sedarkan suaminya tentang pinjaman,
Agar hidup sentiasa bahgia hingga ke Syurga…

Kemuliaan Al-Khansaa’ perlu kau contohi,
Syahdu syairnya memberi semangat,
Hebat bersyair dalam naungan Islam,
Relakan anak-anaknya syahid dalam perang,
Walau kehilangan tetap dalam tenang,
Kerna Syurga pasti jadi balasan…

Ciptakan keberanianmu seperti Khaulah,
Ibarat lelaki sedang berperang,
Menjadi misteri kerna kecekapan,
Hebat bertempur walau seorang wanita,
Harum namanya sepanjang zaman,
Dalam mengenali erti perjuangan…

Kagum dikau dengan kisahnya,
Asma’ Abu Bakar pertahankan agama,
Rasul dan ayahnya perlu perlindungan,
Sanggup berkorban walau jadi sasaran,
Ditampar dihina dianggap biasa,
Rahsia dijaga tetap terpelihara,
Redha kepada-Nya bersama sentiasa…

Kesetiaanmu perlu dijadikan perhatian,
Setelah membaca kisah Nai’lah,
Bersama suaminya Uthman dalam perjuangan,
Fitnah menyala tanpa disangka,
Suami dipertahankan walau diri tercedera,
Tetap ada setia walau berpisah,
Menjadi hiasan ibarat permata…

Sanggupkah dirimu seperti Zainab binti Ali,
Menyaksikan pelbagai peristiwa dalam perjuangan,
Peristiwa Karbala menguji keimanannya,
Lantaran gugurnya saudara-saudara kesayangan,
Mata menatap darah suci pejuang Islam,
Namun semangatnya tetap dinyalakan,
Mengabdikan diri kepada-Nya hingga akhir hayat…

Pengabdiaan agungnya membuatmu sedar,
Rabiatul Adawiyah taat kepada pencipta,
Kekurangan hidup bukan penghalang,
Keimanan dan ketakwaan tetap bercambah,
Terlatih dirinya berjiwa suci dan bersih,
Berat penderitaan tetap bersabar,
Menuju kepada Zat Allah semata-mata…

Kisah Zubaidah menjadi kebanggaanmu,
Wanita misali bersemangat waja,
Lambang kewanitaan zaman Abbasiyah,
Bijaksana dalam pelbagai bidang,
Mulia dirinya walau berkedudukan,
Kemewahan ditabur ke jalan kebajikan,
Menjadi rujukan seluruh ummah…

Penderitaan Zinnirah menjadi renungan buatmu,
Lantaran pengorbanannya terhadap agama,
Hilang pancaindera tuk melihat dunia,
Kalimah “Allahu Akbar” tetap menjadi sebutan,
Mata bercahaya kembali kerna keteguhan iman,
Menjadi penyeri di Syurga tertinggi…

Kisah Ainul Mardhiah menjadi tarikanmu,
Antara bidadari yang sangat rupawan,
Membakar semangat lelaki dalam berjuang,
Bukti cinta sejati seorang pejuang,
Penantiannya hanya kepada syahid di medan perjuangan,
Membawa ke Syurga kekal selamanya…

Walau kutahu kau tidak mampu,
Akan tetap kuterima seadanya,
Cukuplah dikau menjadi bidadari hidupku,
Kerana aku tidak layak berharap sedemikian rupa,
Cukuplah sekadar dirimu mencontohi bunga-bunga itu,
Agar kasih bersemi kan kembang mekar mewangi,
Mengharum melewati pintu SYURGA nan abadi…




Video yang dihasilkan...:D


water colour effect

Isnin, 18 Februari 2013

Jujur ♥ Hati ♥


Assalamu'alaikum... 
Alhamdulillah, video ke-3 selepas hijrah hati dan ikhlas hati. Sebenarnya, video pertama dihasilkan hanya untuk pertandingan. Selepas itu, timbul rasa ingin berkongsi minat, misalnya lagu nasyid, video, dan mengenai hati. Video yang dihasilkan ini ingin mengetengahkan sifat-sifat hati yang terpuji sepatutnya ada dalam diri setiap insan. Insya'Allah, jika ada masa lapang, video mengenai sifat-sifat hati yang lain akan dihasilkan. :D
 Nantikan Sabar Hati dan Taubat Hati...

LIMA bentuk kejujuran menurut Imam Al-Ghazali :

1. Jujur dalam ucapan
Jujur dalam ucapan berupa kata-kata yang dilontarkan oleh seseorang itu haruslah mengandungi kebenaran. Bukan melibatkan ucapan yang dusta ataupun fitnah semata-mata. Sesuai dengan hadis  Nabi S.A.W., "Barangsiap beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata baik atau diam". [H.R. Bukhari & Muslim]

2. Jujur dalam berniat
Niat sememangnya harus diiringi dengan kemahuan dan kejujuran bahawa kita akan berusaha sekuat tenaga untuk melaksanakan niat tersebut. Jika tidak, maka yang diniatkan itu hanyalah sia-sia kerana tiada kejujuran dalam melaksanakannya.

3. Jujur dalam menepati janji
Sekiranya kita berjanji, pastinya perlu ditunaikan kerana janji itu ibarat hutang yang wajib dibayar. Jika tiada kejujuran dalam menepati janji, pastinya akan ada hati yang terluka kerana merasakan diri tertipu. 

4. Jujur dalam kemahuan
Jujur dalam kemahuan berupa usaha-usaha kita menolak segala kejahatan. Jika ada yang mengajak kita melakukan keburukan, kita haruslah menolaknya dengan bersungguh-sungguh dengan menyampaikan segala kebenaran. Justeru, berfikirlah sebelum bertindak, menimbang baik buruk dengan 'kaca mata' Allah adalah jujur dalam kemahuan ini.

5. Jujur dalam perbuatan
Segala perbuatan yang jujur terhasil daripada kejujuran dalam ucapan, berniat, berjanji, dan kemahuan. Justeru, kita melengkapi semua kejujuran ini dalam jujur dalam perbuatan. 


Muzik : 
1. Hakikat Bahagia (minus one) - UNIC
2. Sahaja Aku Mencintai-Mu (Instrumental) - DU'A feat. Ustaz Amal.
3. Ibarat Mujahadah - AIDIL

Ahad, 17 Februari 2013

Temani Aku…



Assalamu’alaikum…

Kali ini ingin kongsikan sebuah lagu bertajuk “Temani Aku – Mizie Kamis”. Lagu ini dimuatkan dalam album Mizie Kamis (ex-Zahran) yang merupakan album sulung beliau setelah bergerak secara solo. Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album Mizie Kamis – Di Suatu Masa ialah;

1.      Di Suatu Masa
2.      Zikir Hamba
3.      Hakikat Cinta
4.      Sahabat
5.      Temani Aku
6.      Zikir
7.      Munajat
8.      Zulqarnain feat. Refleksi & Masrie
9.      Kini feat. Masrie
10. Di Suatu Masa (minus one)
11. Kini (minus one)



Antara lagu yang sering kali diputarkan di stesen radio IKIM.fm ialah Di Suatu Masa dan Hakikat Cinta. Di Suatu Masa pernah beberapa kali menjuarai carta IKIM.fm dan berada lama dalam carta. Apapun, semua lagu ‘best’ mempunyai mesej tersendiri seperti lagu yang ingin dikongsikan, iaitu Temani Aku.




Temani Aku merupakan lagu yang ditujukan buat isteri tercinta. Rangkap pertama merupakan harapan suami terhadap isterinya agar setia menemani dan mengasihi dirinya sementara hayatnya masih ada. Tatkala berjauhan, pastinya akan wujud rasa saling rindu merindui dan hadir rasa kesunyian.  Hanya bila mereka sentiasa bersama sahaja dapat meleraikan rasa rindu dan kesunyian tersebut.

Aduhai kekasihku temanilah diriku
Pastinya kan ku rindu walau jauh
Kasihi diri ini di saatku bernadi
Leraikanlah kesunyianku ini…

Rangkap seterusnya, suami mengharapkan isterinya sentiasa memahami diri dan isi hatinya. Ini kerana isteri merupakan penawar yang paling bermakna bagi suami. Hadirnya isteri sememangnya adalah anugerah dari Ilahi.

Aduhai puteriku fahamilah diriku
Akan isi hati yang aku mahu
Sesungguhnya dikaulah penawar yang berbisa
Adalah anugerah Pencipta…

Sebagai anugerah Tuhan, pastinya seseorang yang bernama isteri itu amat bernilai buat suami. Justeru, seorang suami haruslah menghargai isteri, lebih-lebih lagi jika isteri itu seorang yang sentiasa mentaati perintah Ilahi.

Kau anugerah Tuhan
Sangat bernilai di mata kasih
Untuk dihargai buat suami…

Rangkap terakhir, sekali lagi memperlihatkan harapan suami terhadap isterinya. Bayangkan jika isterinya tiada dalam hidup suami, pastinya seorang suami sentiasa berada dalam kesepian, tiada bersemangat, dan hidupnya ibarat tiada warna. Justeru, hadirnya seorang isteri amatlah dihargai dalam menemani dan mengasihi suami hingga ke hujung waktu…

Ku sepi tanpamu di dalam jiwa nan tak berlagu
Rebah tak bermaya tidak terbangun…
Kau sepi dariku harum mewangi tidak terhidu
Temanilah diriku hingga ke hujung waktu…


“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah
Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri,
supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan
dijadikan-Nya antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya
pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda
bagi kaum yang berfikir. (ar-Rum: 21)

Jumaat, 15 Februari 2013

Kembali Berjuang Menuntut ILMU…



                Alhamdulillah… Sempat juga pulang ke kampung halaman dan kembali semula ke hutan batu (Kuala Lumpur) bagi meneruskan perjuangan menuntut ILMU. Agak lama tidak menulis dalam ruangan  ini. Banyak perkara perlu difikirkan dan diselesaikan setelah bergelar  ‘fresh graduate’. Selepas tamat belajar dalam memiliki segulung ijazah, semestinya fikiran berfokus kepada dunia pekerjaan, namun proses belajar tidak akan pernah habis selagi nyawa dikandung badan.
                Sememangnya rezeki itu di tangan TUHAN, namun kalau tiada usaha dari kita, sudah tentu sukar mendapatkannya, bukan hanya pekerjaan tetapi melibatkan semua perkara. Sering kali memikirkan dunia sekarang yang tidak seperti dahulu, memikirkan diri yang masih kurang dalam hidup berdikari, kesukaran mencari pekerjaan, dan sebagainya membuatkan diri ini terasa ada kekurangan. Memang semuanya bergantung kepada diri, justeru itulah diri ini perlukan perubahan, perlukan perjuangan, perlukan ilmu, dan perlukan apa yang diperlukan dalam memenuhi tanggungjawab sebagai hamba di dunia ini.
Bila ku renungi kepayahan ini, tak ingin rasanya membebani, haruslah diisi hayat yang ada ini dengan perkara yang bermanfaat buat diri. Akhirnya, ilmu jua harus diperjuangkan buat mengisi masa yang ada ini sebelum betul-betul mampu melangkahkan kaki satu lagi ke fasa hidup yang seterusnya. Apa yang kita inginkan tidak seperti apa yang berlaku atau terjadi, sama juga dengan keputusan untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu ini. Menyambung pengajian dalam peringkat Sarjana atau ‘Master’ ini bukannya susah jika difikirkan, namun tidak dinafikan kita tidak dapat lari dari masalah tetapi ‘masalah’ itu sebenarnya ‘UJIAN’ yang pastinya akan hadir dalam setiap perjuangan.
Rasanya, masalah itu tidak perlulah diceritakan kerana ianya ujian biasa buat insan yang menuntut ILMU. Syukurlah kerana semester pertama yang penuh cabaran ini dapat diatasi sebaiknya dengan penuh  kesabaran. ALHAMDULILLAH… Insya’Allah, perjuangan ini harus diteruskan untuk ke langkah seterusnya dalam mengejar erti sebuah kehidupan..:D
(2.5.2013.) –Kampung Halaman.

Ahad, 10 Februari 2013

Tintaku Srikandi


Tintaku Srikandi

Lafaz bismillah penawar hati
Lafaz syahadah penyeri jiwa
Kembara pena bersama tinta
Srikandi berjuang warnai dunia…

Tinta di hati menukil bicara
Terselit erti sebuah kehidupan
Hamba Ilahi melakar cahaya
Terbuka hati meraih cinta-Nya…

Jari jemari menari sentiasa
Tiada noktah menuju destinasi
Coretan indah berpaksikan agama
Terisi hikmah dalam redha-Nya…

Setitik tinta mencorak segalanya
Hamparan suci terserlah akhirnya
Gambaran cerita sebuah pengabdian
Renungi diri sentiasa istiqamah…

Dakwah di hati ikhlas tersebar
Segala yang tertulis jua terlakar
Tersirat impian seorang Srikandi
Menjadi sandaran menuju Syurgawi…

Sekian…


22-Disember-2012.


Isnin, 4 Februari 2013

Tak Kenal Maka Tak Benci…



Assalamu’alaikum…

Kita biasa dengar, “tak kenal maka tak cinta…” tapi pernahkan kita dengar, ‘tak kenal maka tak benci” ? Sebenarnya, ia merujuk kepada musuh utama kita, musuh manusia sejak azali lagi, iaitu SYAITAN.

Kali ini ingin berkongsi sebuah buku yang bertajuk “Syaitan Musuh Kita - Tak Kenal Maka Tak Benci” oleh Badrul Hisham Shari & Zakaria Sungib. Apa yang menarik, buku ini padat dengan gambar dan ilustrasi, persembahan warna sepenuhnya supaya pembaca lebih mudah memahami.

“Walaupun santai dan ringan, dapat memberi ilmu untuk mengenali iblis dan syaitan, menyelami alam misteri penuh tipu daya.dititipkan pula kisah dan tip..”
-Dato’ Dr. Amran Kasimin.


Makhluk halus ini tidak pernah tidur, tidak jatuh sakit,
terus aktif 24 jam sehari semalam, tujuh hari seminggu
dan 356 hari setahun, untuk menyesatkan manusia…


            Dengan membaca buku ini, kita dapat mengenali identiti musuh kita dan akan melahirkan rasa benci yang sepatutnya kita semaikan dalam diri kepada makhluk bernama syaitan, jin, iblis, dan kaum kerabatnya. :D

Ringkasan Kandungan :

Bab 1 – Syaitan Musuh Kita
Memperkenalkan siapa musuh no. 1 kita? Sudah tentulah Iblis dan syaitan kerana makhluk terlaknat itu adalah musuh Allah dan musuh Nabi.

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu”. (al-Baqarah:208)

Bab 2 – Biografi Syaitan

Berkisarkan tentang asal usul syaitan menderhaka, macam mana mulanya Iblis dapat lesen besar untuk sesatkan manusia dan merekrut syaitan-syaitan?
“Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada malaikat; “Sujudlah kamu kepada Adam”, maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia adalah dari golongan jin…” (Al-Kahfi: 50)

Sumpah Iblis; “Kerana Adamlah aku dihukumkan kafir dan kerana Adamlah aku dimurkai Allah!” Demikianlah anggapan Iblis. Lalu, dia bersumpah akan menyesatkan manusia, malah akan sentiasa menyakiti dan menipu keturunan Adam. Sebagai jaminan kepada manusia, Allah memerintahkan setiap orang agar berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.

Bab 3 – Alam Syaitan

Memperlihatkan alam syaitan yang penuh dengan misteri, kengerian, kedurjanaan, dan segala yang menjijikkan, sesuai dengan kutukan dan laknat Allah ke atas mereka.
“Sesungguhnya dia (Iblis laknatullah) dan pengikut-pengkikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka”. (Al-‘Araf: 27)

Nisbah Bilangan Manusia, Jin, dan Malaikat
1 manusia : 99 jin
1 jin : 99 malaikat
1 malaikat di bumi : 99 malaikat yang memikul Arasy

Bab 4 – Ops Sesat

Iblis dan Syaitan menjalankan operasi tanpa henti untuk menyemarakkan penderhakaan kepada Allah serta menghasut, menipu daya, dan menyesatkan manusia.

Laluan Mudah Syaitan: Banyak lorong yang memudahkan Iblis dan Syaitan mengganggu dan menguasai manusia. Antaranya;

~ Ketika seseorang itu bermasalah
~ Ketika seseorang itu menghadapi masalah fizikal
~ Tidak mempunyai asas agama
~ Banyak melakukan maksiat. Semakin banyak seseorang itu menyimpang dari jalan 
   Allah, semakin hampirlah Syaitan kepadanya.

Bab 5 – Siapa Selamat

Hampir tidak ada anak Adam yang akan selamat dari ancaman Ops Sesat Iblis dan Syaitan kalau Allah tidak datangkan rahmat-Nya.

Iblis dan Syaitan sebenarnya takutkan manusia, sama macam manusia takutkan mereka. Mereka takut dengan manusia yang taqwa, warak, dan zuhud kepada Allah. Rasulullah pernah memberitahu Saidina Umar bahawa Iblis dan Syaitan lari daripadanya.

Kuatkan Roh: Kekuatan roh merupakan ketahanan daripada gangguan Iblis dan syaitan. Bagaimana hendak perkuat roh? Antara kaedahnya ialah melalui sebutan nama-nama Allah, ibadah seperti solat, dan sebagainya. Apabila roh menjadi perkasa, dengan izin Allah seseorang itu akan selamat dan terhindar daripada gangguan Iblis dan syaitan.

Begitulah sedikit sebanyak mengenai buku tersebut. :D

Iblis Azazil, begitu namanya
Daripada api asal kejadiannya
Sombong, angkuh memang sifatnya
Dendam, dengki adalah lagaknya

Ajak manusia buat dosa matlamatnya
Menggoda menghasut itulah kerjanya
Manusia ingkar jadi sahabatnya
Manusia bertakwa jadi musuhnya

Aduhai malang nasibnya
Dilaknat Allah kerana degilnya
Tidak mengaku Adam nabinya
Maka dendam jadi misinya

Amar makruf nahi mungkar
Sama-sama kita tegakkan
Iblis dan syaitan tentulah sukar
Untuk manusia disesatkan

Tamak haloba hendaklah dijauhi
Kerana syaitan mudah menghasut
Iblis dan syaitan kita musuhi
Agar kita tidak dihasut

Kusandarkan doa dan harap pada Ilahi
“Ya Allah bantulah hamba-Mu”
Menentang makhluk yang dimusuhi
Moga berjaya menuju syurga-Mu