Rakan...

Isnin, 26 Disember 2011

Puisi : La Tahzan

 
Jika kau rasa gelisah,
Aku juga pernah merasa,
Jika kau rasa lemah,
Aku juga pernah merasa,
Jika kau rasa duka dan hiba,
Aku juga pernah merasa,
Jika kau rasa derita,
Aku juga pernah merasa...

Apa yang kau rasa,
Semuanya pernah kurasa,
Kerna aku juga manusia,
Pernah ada rasa bahagia,
Pernah juga ada sengsara...

Air mata,
Sering berkunjung tiba,
Berkumpul di kelopak mata,
Akhirnya jatuh ke pipi jua,
Tiada tertahan menanggung hiba,
Kerna hati terlalu merasa,
Itulah kesedihan yang melanda...

Menangislah dikau,
Menangislah sepuas-puasnya,
Agar hilang semua resah,
Agar hilang semua derita,
Agar hilang semua duka,
Kerna dunia bukan hanya bahgia,
Ada suka ada jua duka...

Jika kau bersedih,
Jika kau selalu menangis,
Adakah semuanya berakhir?
Adakah semuanya selesai?
Adakah segala derita hilang?...

Aku juga manusia,
Pernah kurasa semuanya,
Namun janganlah lemah,
Janganlah terlalu resah,
Jangan pula terlalu gundah,
Kerna ternyata semuanya ujian,
Dari Allah datangnya hikmah...

Bangkitlah dari kesedihan,
Bangkitlah dari penderitaan,
Kerna putus asa itu dosa,
Selagi hayatmu di sini,
Berusahalah tuk berjaya,
Kelak kau akan bahagia...

Serahkanlah pada Yang Esa,
Kerna hayatmu ketentuan-Nya,
Usah banyak bertanya,
Mengapa diberi derita?
Kenapa aku yang sengsara?
Adakah aku insan hina?
Dan pelbagai persoalan,
Kerna kaulah insan pilihan...

Dalam berjuta insan,
Kau diberi ujian,
Bagi menguji kesabaran,
Bagi memberi ketabahan,
Agar tingkatkan keimanan,
Dan bila kau berjaya,
Segalanya akan terjawab,
Kau pasti merasa bahagia,
Kerna destinasi cinta semakin hampir,
Hampir menuju Syurga,
Syurga yang kekal abadi...

Semuanya bermula dalam diri,
Usah biarkan kesedihan memakan diri,
La Tahzan...
Jangan Bersedih...
Don't be sad...
 

Isnin, 21 November 2011

Peringatan: Kiamat Sudah Dekat!!!


        Wahai Muslimin dan Muslimat. BERINGATLAH!!! Hari kiamat semakin hampir. Tanda-tanda kiamat sudah banyak berlaku, baik tanda-tanda kecil, mahupun yang besar. Tetapi masih ramai di kalangan kita umat Islam masih tidak sedar. Ini tidak lain kerana kita sudah meninggalkan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Yang dilihat hanyalah rukun Islam yang lima dan rukun Iman yang enam, tidak lebih daripada itu. Wahai Muslimin Muslimat !! Sudahkah kalian membaca akhbar pada hari ini? Sudahkah kalian melihat berita perdana semalam & hari ini (baik apa jua salurannya)? Tidak takutkah kalian dengan apa yang sedang berlaku? Sepatutnya kita sebagai Muslim tidak harus terkejut dengan apa yang berlaku kerana Rasulullah SAW telah pun memberitahu kepada kita secara terperinci tentang perkara yang akan berlaku pada akhir zaman sebelum hari kiamat. Cuma kita yang tidak mahu membaca hadis-hadisnya. MUKA TAK MALU!!! Dabik dada saja mengaku sebagai Muslim, tapi HAMPEH. Bacalah hadis-hadis Nabi yang telah disampaikan lebih 1400 tahun ini dan buatlah persiapan untuknya. JANGAN TUNGGU LAGI. AJAL DATANG SEKELIP MATA.
Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain (bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan babi (setelah mati)". (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)
Daripada Anas bin Malik r.a.,Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah hampirnya hari Qiamat itu, berlaku banyak kematian manusia secara mendadak" (Hadis riwayat Thabrani)
Daripada Abu Hurairah r.a.,Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan datang hari qiamat sehinggalah berlakunya banyak gempa bumi" (Hadis Riwayat Bukhari).
Rasulullah SAW bersabda: "Sebelum berlakunya hari qiamat, akan terdapatnya kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlakulah tahun-tahun gempa bumi" (Hadis riwayat Ahmad)

          Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka BALA pasti akan turun kepada mereka, iaitu:

1.. Apabila harta negara hanya beredar di kalangan orang tertentu sahaja.

2.. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

3.. Zakat dijadikan hutang.

4.. Suami menurut kehendak isteri (dalam perkara bertentangan syariat).

5.. Anak derhaka terhadap ibunya .

6.. Akan tetapi (anak tadi) sangat baik terhadap kawan-kawannya.

7.. Ia (anak) suka menjauhkan diri daripada ayahnya.

8.. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9.. Yang menjadi ketua sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di antara mereka.

10.. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11.. Arak sudah diminum secara berleluasa.

12.. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).

13.. Para artis-artis disanjung-sanjung.

14.. Muzik banyak dimainkan/didendangkan.

15.. Generasi akhir umat ini akan melaknat generasi pertama (para sahabat terdahulu).
         Maka, pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau GEMPA BUMI ataupun mereka akan digubah menjadi makhluk lain" (Hadis Riwayat At-Tirmidzi) Wahai Muslimin Muslimat.. APA LAGI YANG ANDA TUNGGU?!!! BERINGATLAH!!! KEMBALILAH KEPADA ISLAM…JANGAN LAGI NAK BERDOLAK-DALIH!
Janganlah kalian SOMBONG & EGO terhadap ALLAH!! Sedarlah diri kalian!!! Adakah kalian ingin menunggu maut datang di hadapan anda baru nak bertaubat? Sampai bilakah anda nak TUNGGU & TUNGGU, NANTI & NANTI, TANGGUH & TANGGUH untuk berubah dan membuat persediaan diri?
Adakah anda tahu bila anda akan MATI? Adakah anda boleh jamin yang anda akan hidup sehingga ke akhir hari ini? Kalian yang tidak solat, TUNAIKANLAH SOLAT.
 Kalian yang tidak menutup aurat atau menutup sebahagian tetapi membuka sebahagian yang lain atau yang memakai baju nampak pusat, seluar dalam, baju dalam (laknat Allah dan Rasul-Nya ke atas mereka), BERTAUBATLAH!! TUTUPLAH AURATMU DENGAN SEMPURNA!! HENTIKANLAH SEGALA BENTUK MAKSIAT!!

Hentikanlah mendengar muzik-muzik yang melalaikan!! Tunaikanlah zakat dan haji bagi yang berkemampuan. Tunaikanlah kewajipan kalian sebagai
MUSLIM & PENDAKWAH. Apa yang kalian dah buat?
Di manakah AKHLAK & ADAB ANDA SEBAGAI MUSLIM? Mengaku saja diri kalian sebagai Muslim..memang muka tak malu!!
           Bagi para PEMERINTAH MUSLIM!! DI MANAKAH KEWAJIBAN ANDA UNTUK MENDAULATKAN UNDANG-UNDANG ISLAM & KHILAFAH ISLAM? Sampai bila anda nak TUNGGU?? DI MANAKAH AMAR MAKRUF & NAHI MUNGKAR? Sampai hati kalian biarkan RAKYAT TERUS-MENERUS BERGELUMANG DENGAN DOSA & MAKSIAT!!! Sampai hati kalian biarkan RAKYAT MENJADI AHLI NERAKA!!! Apa yang kalian dah buat??!!Bagi para Muslimin. DI MANAKAH SOLAT BERJEMAAH ANDA DI MASJID-MASJID, SURAU-SURAU & RUMAH-RUMAH.. Adakah kalian masih terus nak jadi MUSLIM yang TAK GUNA & MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI? Bagi para suami, para bapa, para isteri, para ibu..DIDIKLAH ANAK-ANAK KALIAN!! Kalian diberi amanah untuk menjaga dan mendidik, BUKAN SEKADAR MEMBUAT & MENTERNAK anak-anak!! Jadikanlah mereka sebagai anak yang SOLEH & SOLEHAH. Pada masa yang sama, KALIAN JUGA WAJIB MENUNJUKKAN CONTOH pada mereka sebagai MUSLIM, bukan sekadar menghantar mereka ke sekolah agama. Amalkanlah ISLAM 100%, bermula dari rumah. TOLONG, TOLONG & TOLONG SEBARKAN...
 


Jumaat, 18 November 2011

Puisi: Kau dan Aku (yoU & Me)

Assalamualaikum.... 
Puisi yang tak seberapa ini dicipta khas ilham di mana tempatku belajar sekarang ini...

Terimbau kembali kenangan dahulu,
Saat pertama menjejakkan kaki,
Jodoh dan takdir menempatkanku,
Dalam kehidupanmu yang menjadi impian,
Menjadi buruan seorang pejuang,
Mengejar kejayaan demi masa depan…

Hidupku penuh cabaran dan rintangan,
Menjadi perantau meninggalkan desa halaman,
Kerna usahaku telah tercapai,
Namun kutahu kaulah cabaran sebenar,
Perlu kutempuhi dengan kesabaran,
Agar diriku tidak terbuang…

Banggakah aku hidup denganmu,
Hebatkah aku dapat mengenalimu,
Bermain dengan fikiran ibarat tiada tujuan,
Namun syukur sentiasa dengan segala kurniaan,
Kuteruskan berjuang berdikari mencari teman,
Kini semuanya dikongsi dalam satu kehidupan…
  
Kaulah tempatku berlari,
Walau tersungkur kubangkit kembali,
Kaulah tempat kukenali diri,
Mencari identiti dengan kelebihan diri,
Kaulah tempat utama kumengejar cita-cita,
Kerna itulah matlamat utama,
Kau jua tempat aku kenali cinta,
Mungkin akan membawa bahagia…

Saki baki hidupku tidak lama,
Waktu perpisahan akan berkunjung jua,
Berjalan tanpa henti itulah masa,
Sudah terlukis kenangan bersama,
Suka dan duka menjadi satu pengalaman,
Perbaiki diri mencari arah tujuan…

Cepatnya masa diriku rasa,
Setahun berlalu ibarat sehari,
Bilakah masanya lagi kita kan bersua,
Setelah kakiku kan melangkah pergi,
Mesti kurindu dan kukenang selalu,
Kerna kehidupanmu penuh bermakna buatku…

Masih ada masa untukku ceria,
Mencipta kenangan di bumimu ini,
Mencari pengalaman dengan berusaha,
Kerna pertemuan pasti ada perpisahan,
Sebelum meninggalkan terusku berbakti,
Menyemai kegigihan agar tersemat di hati…

Tiada apa lagi dapat kucoretkan di sini,
Biarlah ia sentiasa di sanubari,
Kerna setiap dari kita punyai ceritera sendiri,
Demi menggapai bintang di langit tinggi,
Namamu selama-lamanya di hati…

Itulah kisah yang tak seberapa,
Luahan hati seorang insan,
Perihal hidup di menara gading,
Dengan harapan semua kan cemerlang,
Sematkan kisah ini di hati,
Yang kuberi nama “Kau dan Aku…”
 yoU & Me = UM
 

Khamis, 17 November 2011

Kemelayuan, Kebangsaan, dan Kemalaysiaan.

Kemelayuan, Kebangsaan, dan Kemalaysiaan.
Oleh:
Mohd Hafizie bin Samat (JEA 090049)
Pengenalan
              Konsep kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan  saling berkaitan antara satu sama lain. Takrif Melayu merupakan suatu bangsa atau ras dalam sesebuah negara, khususnya merujuk kepada masyarakat Melayu di Malaysia. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-3 (2002:874), Melayu didefinisikan sebagai nama suatu bangsa dan bahasa terutamanya di Semenanjung Malaysia. Selain itu, penggunaan perkataan Melayu akan membawa sesuatu maksud tersendiri, contohnya masuk Melayu akan merujuk kepada mengikut cara hidup orang Melayu dan  boleh dikatakan juga masuk Islam. Sementara itu, kemelayuan pula didefinisikan sebagai ciri atau sifat yang  memperlihatkan keperibadian orang Melayu.
              Merujuk lagi kepada Kamus Dewan Edisi Ke-3 ( 2002:102 ), bangsa  dapat didefinisikan sebagai  jenis manusia daripada satu asal keturunan terutamanya merujuk kepada bangsa Melayu. Di samping itu, bangsa turut membawa maksud sesuatu kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan. Kebangsaan pula dikatakan berkaitan dengan negara secara keseluruhan, nasional serta semangat yang dipilih untuk melambangkan keperibadian sesebuah negara seperti bahasa, pakaian, dan lain-lain. Lagu kebangsaan juga diciptakan khas untuk dinyanyikan bagi menyatakan taat setia kepada negara.
              Mengikut pengetahuan kita, Malaysia adalah sebuah negara yang terletak di Asia Tenggara. Rakyatnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan agama rasminya ialah agama Islam. Mengikut Kamus Dewan Edisi Ke-3 (2002:851), kemalaysiaan berhubung dengan atau bersifat Malaysia sebagai negara seluruhnya.
              Konsep kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan merupakan suatu ciri yang terdapat di negara Malaysia. Dalam  mengenali dan mencari perihal diri kita yang sebenar sebagai orang Melayu, kesedaran dalam memupuk ketiga-tiga ciri tersebut dalam diri setiap individu amat diperlukan demi kepentingan negara. Ini kerana kita  berada dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, agama, dan budaya, keperluan persefahaman serta sikap tolak ansur, dan  saling hormat-menghormati antara satu sama lain, khususnya sebagai satu bangsa.
               Melalui kesedaran tersebut, halangan kepada keharmonian yang dinikmati selama ini seperti tercetusnya permusuhan, perkelahian, dan peperangan dapat dielakkan. Halangan ini timbul dari perasaan tidak puas hati, gelisah, dan kebencian yang harus segera dipadamkan kerana boleh memercikkan gelombang kemarahan yang menyeluruh untuk dikongsi oleh sesuatu kaum yang merasakan ketidakadilan itu. Peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei, 1969 menjadi satu pengajaran berguna dalam hal ini. Lantaran itu, realiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama, dan budaya perlu difahami oleh generasi muda yang akan meneruskan kesinambungan dalam mentadbir negara ini khususnya dalam membentuk masyarakat bagi mencapai kesefahaman yang baik. Hasil dari kefahaman ini akan mewujudkan perpaduan dan mengukuhkan lagi hubungan antara kaum di Malaysia.
               Justeru, sebagai orang Melayu yang berada di bumi Malaysia, kita haruslah menerima hakikat  bahawa kita sedang berkongsi negara dengan kaum lain seperti Cina, India serta etnik  yang  lain. Oleh itu, di sinilah pentingnya keupayaan kita sebagai orang Melayu untuk mengolah faktor yang boleh menyebabkan tercetusnya konflik kepada faktor pembina kepada kekuatan bangsa. Lantaran itu, usaha yang bersungguh-sungguh amat penting dalam memahami realiti budaya pelbagai kaum di Malaysia untuk menjana atau membina negara yang lebih selamat dan kuat. Di samping itu, perancangan yang rapi dan teliti perlu difikirkan serta diusahakan bersama sebagai satu bangsa terutamanya dalam proses pembentukan kebudayaan dalam melahirkan cara hidup yang bersifat kemalaysiaan.
   Dalam konteks masyarakat pelbagai kaum di Malaysia kini, maka suatu visi dan prinsip pembentuk bangsa dan kebudayaan yang nyata dan tegas harus dilakukan di atas landasan keadilan dan kesaksamaan bagi semua kelompok  bangsa. Contohnya dalam visi Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang tubuh negeri yang  membuat  visi kebudayaan dan sistem sosial dengan tegas meletakkan Melayu sebagai perkara utama, serba merangkumi, dan menyeluruh. Peruntukan penting tentang Melayu ialah  agama, raja, bahasa, dan hak istimewa  yang  memberikan mereka suatu keutamaan untuk menentukan visi kebudayaan tidak kira  proses yang dicadangkan. Walaupun Malaysia mempunyai pelbagai kaum, namun jati diri kita sebagai bangsa  Melayu perlu disemai terutamanya dalam kehidupan kerana setiap kaum mempunyai cara hidup tersendiri agar ciri-ciri kemelayuan itu tidak pupus oleh arus kemodenan.[1]
              Dalam ciri kemelayuan, bahasa Melayu berpotensi dalam memupuk  semangat kebangsaan kerana menjadi bahasa komunikasi antara pelbagai kaum disebabkan sifatnya yang dinamik untuk diterima oleh semua lapisan masyarakat. Di samping itu, majoriti penduduk di Malaysia menggunakan bahasa tersebut kerana rakyat mengetahui tentang kepentingannya yang menjadi kekuatan perpaduan negara berbilang kaum di Malaysia. Malah, rakyat turut berbangga dengan kepelbagaian yang terpancar dalam kehidupan pelbagai kaum sejak kemerdekaan negara. Justeru, kepelbagaian inilah menjadi aset untuk mengukuhkan ciri-ciri kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan.
              Namun, melihat kepada diri kita sebagai rakyat Malaysia, kita diingatkan supaya tidak mudah lupa diri dan  berusaha  mengekalkan ciri-ciri kehidupan sebagai seorang yang berbangsa Melayu di bumi Malaysia. Justeru itu, Y.A.B. Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menyatakan:
“Kita berdiri, kita berfikir, bertindak sebagai bangsa Malaysia”.
              Pernyataan ini merupakan inti pati pembinaan kesatuan yang utuh sebagai rakyat Malaysia yang  berteraskan ikatan teguh perpaduan kaum. Rakyat negara ini diseru supaya berfikir sebagai bangsa Malaysia. Yang dimaksudkan dengan bangsa Malaysia ialah seluruh etnik di Malaysia melihat diri mereka sebagai satu rumpun rakyat Malaysia besar yang menjadi teras pembinaan negara tanpa prasangka etnik yang sempit dan status sosial etnik. Ini tidak bermakna orang Melayu itu perlu melupakan terus budaya mereka kerana setiap budaya ada kelebihan yang tersendiri. Oleh itu, pihak tertentu khususnya kerajaan, di samping rakyat sendiri perlu berusaha untuk mencari langkah terbaik untuk  melakukan sesuatu yang dapat melahirkan rakyat yang bercirikan kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan.           
Penggunaan bahasa
              Antara masalah yang dihadapi oleh negara berbilang bangsa dan bahasa di Malaysia  ialah masalah dalam menentukan bahasa yang patut digunakan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kerajaan atau negara. Melihat dari segi bahasa, bahasa Melayu sememangnya merupakan elemen  penting dalam usaha menerapkan ciri-ciri kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan. Bahasa Melayu yang diberi  taraf sebagai bahasa kebangsaan seperti yang terkandung dalam Perkara 152 dalam Akta Bahasa Kebangsaan tidak seharusnya dipinggirkan. Hal ini kerana bahasa yang digunakan berfungsi sebagai alat untuk berkomunikasi dalam masyarakat di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Penentuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan sahaja merupakan ideologi yang berkaitan dengan soal nasionalisme, perpaduan bangsa, dan jati diri negara tetapi juga berkaitan dengan pragmatisme iaitu fungsi bahasa itu sebagai alat pembangunan negara.
              Melalui bahasa, suatu komunikasi dapat dijalankan dengan sempurna yang melibatkan pelbagai bangsa dan seterusnya dapat menonjolkan identiti kita sebagai satu masyarakat  Malaysia. Pelbagai bangsa di Malaysia perlu menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi terutamanya  yang melibatkan orang Melayu. Apabila bahasa Melayu kerap digunakan, ini akan menonjolkan ciri-ciri kemelayuan seseorang itu dan apabila digunakan oleh bangsa lain, ini pula menunjukkan bahawa bahasa mempunyai kaitan dengan bangsa dalam sesebuah negara. Di samping itu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat digunakan sebagai alat memupuk perpaduan kaum bagi melambangkan identiti kemalaysiaan. Justeru itu, bahasa dapat dikaitkan dengan ciri kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan kerana melibatkan semua masyarakat dan penting dalam  melahirkan masyarakat yang bersatu padu sebagai suatu bangsa Malaysia.
Perkongsian kebudayaan
              Selain itu, kebudayaan dalam sesuatu masyarakat  perlu diberi penekanan  yang sewajarnya dalam melahirkan bangsa Malaysia yang bercirikan kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan  kerana budaya merupakan salah satu ciri yang terdapat dalam sesuatu bangsa. Walaupun ciri kemelayuan mungkin tidak sesuai untuk bangsa lain, namun, budaya dalam sesuatu masyarakat, misalnya dilihat perkongsian budaya seperti cara hidup, makanan, dan sebagainya, begitu juga budaya popular seperti muzik, nyanyian, filem, dan lain-lain yang  turut dikongsi bersama. Misalnya, cara hidup seperti cara orang Melayu yang makan menggunakan tangan, diikuti dan diamalkan oleh bangsa lain. Di Malaysia, kepelbagaian kaum sudah lama menjadi simbol kekuatan negara. Integrasi antara kaum jika diperhatikan turut terbias pada seni halus yang diperturunkan dari zaman ke zaman. Asimilasi seni melalui penyatuan pelbagai elemen dalam rentak tari Melayu, India, dan Cina misalnya, membentuk keunikan tersendiri yang hingga hari ini terus menjadi tarikan setiap kali dipersembahkan di mana saja terutama di luar negara.
              Dalam mencari-cari erti seni dan bagaimana ia mampu menjadi elemen penyatuan kepelbagaian etnik di Malaysia. Festival Tari Malaysia 2009 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur kelak, mampu menjadi naskhah terbaik dalam menilai kecintaan rakyat terhadap seni, penyatuan dan kepelbagaian resam.[2] Perbezaan dan perbandingan dari segi identiti sesuatu bangsa inilah yang dapat melahirkan suatu variasi dalam sesuatu masyarakat di Malaysia yang dapat memupuk semangat perpaduan. Oleh itu, nilai-nilai dalam sesuatu kebudayaan perlu diterapkan dalam diri setiap individu walaupun terdapat pebezaan dari segi agama kerana ciri-ciri atau nilai-nilai yang murni tidak menjadi masalah untuk dikongsi dan diamalkan bersama.
Kesenian atau perayaan
              Usaha lain untuk menerapkan ciri-ciri kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan dalam diri masyarakat ialah melalui kesenian. Perkara ini turut disedari oleh Perdana Menteri kita, Dato’  Seri Mohd. Najib Tun Razak dengan menggariskan kesenian yang lahir daripada kepelbagaian budaya masyarakat majmuk sebagai penggerak Gagasan Satu Malaysia (Dewan Budaya,2009:3). Kesenian perlulah melibatkan pelbagai kaum di Malaysia bagi menonjolkan ciri-ciri dalam kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan. Kesenian  wajar dikongsi bersama tanpa mengira warna kulit dan agama bagi membentuk sebuah negara yang kukuh dan stabil tanpa perpecahan dan pergeseran antara kaum di Malaysia. Variasi kesenian yang ada tanpa kita sedari telah mewujudkan suasana harmoni yang dapat kita nikmati. Contohnya dalam sesuatu pertandingan seperti koir yang boleh melibatkan peserta dari pelbagai kaum. Hasil gabungan vokal semua, dapatlah menghasilkan sesuatu yang harmoni dan bervariasi dalam paduan suara. Melalui aktiviti kesenian seumpama ini, masyarakat Melayu dapat menonjolkan identiti mereka terutamanya dalam kesenian Melayu dan begitu juga kesenian dalam kaum lain. Begitu juga perayaan-perayaan dari bangsa lain yang turut dihadiri oleh masyarakat Melayu. Contohnya dalam Festival Kuih Bulan pada Oktober, 2009 yang dibuat di Kuala Lumpur turut dihadiri oleh semua kaum di Malaysia dan dalam ucapan perasmian, Perdana Menteri telah mengiktiraf Festival Kuih Bulan atau Tanglung yang biasanya disambut oleh masyarakat Cina sebagai milik bersama (Dewan Budaya,2009:50-53). Apabila kesenian dan  sesetengah perayaan ini dikongsi bersama sebagai satu bangsa, ciri-ciri kebangsaan dapat diterapkan, begitu juga ciri kemalaysiaan yang sememangnya diamalkan di Malaysia. Oleh itu, kesenian atau perayaan tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja disebabkan turut mempunyai kepentingan dalam menerapkan ketiga-tiga ciri ini.
Sistem pendidikan
              Di samping itu, pendidikan juga dapat melahirkan masyarakat yang bercirikan kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan. Melalui pendidikan, khususnya dalam sistem pendidikan di sekolah, ciri-ciri ini dapatlah diterapkan dalam diri setiap pelajar melalui pelbagai aktiviti di sekolah yang melibatkan pelbagai bangsa. Bahasa kebangsaan perlulah diteruskan penggunaannya sebagai bahasa pengantar dalam sistem persekolahan. Saranan Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim supaya memansuhkan sekolah vernakular perlu diberi perhatian serius. Namun, masih terdapat halangan dalam usaha ini kerana terdapat kekhuatiran hilang identiti kaum sekiranya sekolah vernakular ini dimansuhkan.
              Selain itu, usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, iaitu dalam melahirkan sekolah wawasan perlu diteruskan lagi dan dikaji dengan lebih spesifik supaya berkesan dalam mencapai matlamat penubuhannya. Melalui pendidikan khususnya di sekolah, sikap toleransi dan semangat kebangsaan dapat disemai dalam jiwa setiap individu. Setiap pelajar dapat menunjukkan nilai-nilai yang terdapat dalam sesuatu bangsa mereka melalui pembelajaran tentang masyarakat di Malaysia dan sekaligus dapat menerapkan ciri-ciri ini dalam diri. Oleh itu, sistem pendidikan amat penting dan harus diperkemaskan lagi supaya setiap pelajar atau individu dapat menghayati dan menjadi seorang yang mempunyai identiti masing-masing sama ada bercirikan kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan kerana terdapat kaitan antara ketiga-tiga konsep tersebut.
Kesimpulan
              Kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan merupakan ciri-ciri yang sememangnya terdapat dalam negara Malaysia. Namun, ciri-ciri ini bukan semua dapat diserap ke dalam diri setiap warganegara kerana masih terdapat halangan terutamanya yang melibatkan kesedaran juga sikap setiap individu itu tanpa disedari, lebih-lebih lagi disebabkan pengaruh dunia luar yang semakin banyak berikutan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi.
              Namun, usaha-usaha untuk menerapkan ketiga-tiga ciri ini dapat dijalankan seperti dalam penggunaan bahasa, perkongsian kebudayaan, kesenian, pendidikan, dan sebagainya.Usaha-usaha ini perlu dijalankan bermula dari sekarang kerana bimbang bahawa ciri-ciri kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan yang menjadi identiti dalam negara ini akan hilang ditelan arus kemodenan dan masyarakat di Malaysia akan hilang identiti masing-masing. Justeru, pelbagai pihak terutamanya kerajaan perlu bertanggungjawab dalam hal meningkatkan ciri-ciri yang terdapat dalam masyarakat di Malaysia seperti dalam Kementerian atau dibahaskan dalam Dewan Kabinet dan sebagainya, di samping peranan setiap individu agar sedar tentang kepentingan ciri kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan dalam diri.


    maruah-bangsa dipetik pada 11 Januari, 2010.