"Dan ketahuilah bahawa dalam setiap tubuh itu ada seketul daging. Sekiranya ia baik, baiklah seluruh tubuh itu. Dan sekiranya ia tidak baik, tidak baiklah seluruh tubuh itu. Itulah HATI"[H.R.Bukhari & Muslim].
H-Harapan,
A-Agama(Akidah),
T-Takwa,
I-Ilmu,
= HATI
Puisi kali ini mengenai pertemuan yang sementara, namun membawa kepada ukhuwah yang berpanjangan. Ini kerana seseorang itu tidak pernah melupakannya dan ada sesuatu perasaan yang tak dapat diungkaikan dengan kata-kata, misalnya perasaan kasih, sayang, cinta, dan sebagainya. Perasaan itu sebenarnya bukanlah tidak dapat dilafazkan tetapi belum masanya yang sesuai. Bila dilafazkan, bimbang ukhuwah yang terbina selama ini terus hilang begitu sahaja. Harapan yang ada hanyalah ingin tetap teruskan ukhuwah ini hingga ke akhirnya. Persoalan itu hanya Allah sahaja yang mampu menjawabnya, kita sebagai hamba-Nya perlu redha dengan segala ketentuan. Insya'Allah, segala yang terjadi itu adalah terbaik dari-Nya.
Hijrah Hati merupakan tajuk bagi video islamik pertama yang aku cipta dengan seorang teman. Video ini dibuat untuk pertandingan video islamik sempena "Minggu Penghayatan Islam" di kolejku baru-baru ini. Pada awalnya, aku tidak ingin sertai disebabkan tiada kemahiran dan idea tuk' menciptanya. Bukan senang nak hasilkan satu cerita yang dijadikan video. Hendak buat lakonan pula tiada video cam. dan tiada bakat. huhu..
Akhirnya, aku 'try' cari video-video dalam 'you tube' tuk' dapatkan idea dalam menghasilkannya. Dengan bantuan temanku, akhirnya aku mencuba juga tuk' menciptanya, memandangkan memang hobi aku dan minus one, instrumental, juga koleksi nasyid memang sudah tersedia dalam laptopku. Jadi, apa salahnya mencuba.
Idea tuk' hasilkannya sudah dapat, iaitu dengan melukis kartun dan ambil gambar tuk' jadikan satu cerita. Dengan bantuan 'software' Cyberlink Power Director v7, kamera temanku, dan sedikit kreativiti, akhirnya aku berjaya hasilkannya. Namun, lukisan dalam video tersebut tidaklah cantik kerana dilukis dalam masa sehari, ditambah pula tiada bakat melukis, dan sudah lama tidak melukis.. huhu...
Idea tuk' cerita ini pula, sebenarnya kebetulan terdengar lagu nasyid hadis bertajuk Hijrah nyanyian Muadz. Lagu itu menceritakan mengenai maksud hadis pertama hadis 40. Ditambah pula dengan sedikit cerita daripada pengalamanku dan temanku itu, namun cerita dalam video tersebut bukanlah 100% berkaitan dengan diri tetapi diubah suai sedikit tuk' sampaikan mesej.
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn Al-Khattab r.a., beliau berkata:
"Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda";
"Sesungguhnya, setiap amalan bermula dengan niat,
dan sesungguhnya bagi setiap insan, (amalannya bergantung) kepada apa
yang diniatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju Allah dan Rasul-Nya,
maka, hijrahnya akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya.
Barangsiapa hijrahnya sekadar untuk keduniaan yang akan diperolehinya
atau sekadar untuk wanita yang akan dinikahinya,
dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya.
[H.R. Bukhari & Muslim]
Inilah video islamik "Hijrah Hati". Maaf jika ada kekurangan dan insya'Allah jika ada masa, video seumpama ini akan terus dihasilkan tuk' manfaat semua. Syukran kepada yang memberi pendapat, nasihat, dan sebagainya tuk' terus berusaha membawa kebaikan... :)
Agak lama juga rasanya tak update blog ini kerana masalah internet, sibuk dengan permulaan tuk' 'study', dan hal-hal lain. Lagipun tiada idea tuk' menulis, jika ada pun tidak sempat kerana kekangan masa. Kali ini ingin menceritakan mengenai projek kolej. Walaupun aku berada di semester terakhir, namun aku tetap bersama dalam aktiviti di kolej lebih-lebih lagi melibatkan agama. Projek ini diberi nama "Minggu Penghayatan Islam".
Aku fikir, untuk kali ini dapatlah aku rileks tapi disebabkan aku masih diperlukan kerana pelajar 'junior' kurang memberi komitmen, akhirnya, aku juga yang terpaksa menjadi ketua unit. Kali ni aku 'handle' Unit Teknikal dan Multimedia. Ikutkan pengalaman memang sudah pernah tapi tak biasa juga dengan tugas-tugas teknikal melainkan, aku hanya biasa dengan membuat video.
MPI- Minggu Penghayatan Islam kali ini dijalankan di bawah Jawatankuasa Perkembangan (JKP) Kerohanian dan Perpaduan yang dahulunya dikenali sebagai JKP Balai Islam di Kolej Kediaman Ke-3 (Tuanku Kurshiah) sesi 2011/12, Universiti Malaya. Walaupun namanya telah ditukar, namun alhamdulillah aktiviti-aktivitinya tetap tidak berubah dan masih melibatkan unsur-unsur agama Islam.
Sebenarnya, ini kali pertama MPI dijalankan kerana sebelum ini nama projek ini dikenali sebagai Minggu Perpaduan, dan projek lain pula ialah Ihya' Ramadan (IHRAM). MPI pernah dilaksanakan suatu ketika dahulu tetapi waktu itu, aku masih lagi bersekolah...:) Rasanya sampai sini sahaja coretan tuk' kali ini. Semoga projek seumpama ini dapat diteruskan lagi untuk sesi akan datang. Syukran...
Alhamdulillah, pengakhiran tahun 2011 yang lepas menandakan masuknya tahun baru 2012. Kali ini, hati terdetik ingin berkongsi sebuah cerita suka dan duka dalam perjuangan menuntut ilmu. Memandangkan ini tahun terakhirku di Universiti Malaya, maknanya semua kursus atau subjek wajib universiti kena habiskan. Kalau tidak, tak "graduate" la nanti... :(
Sebenarnya, bagi semester lepas, aku sudah daftar subjek ko-kurikulum, iaitu Bola Sepak dan sempat pun datang latihan tetapi sekali sahaja. He3.. Maklumlah, pelajar yang satu akademi dengan aku semua tak ambil. Jadi, diri ini keseorangan dan ditambah pula dengan stamina yang kurang..huhu.. Oleh itu, niat tuk' teruskan perjuangan terpaksa ditangguhkan.
Bagi semester ini, aku mula berfikir nak ambil subjek yang tak membebankan sangat. Justeru, aku pun daftar kursus GNEK 1011- Bimbingan Kerjaya dengan harapan, aku dan kawan-kawan dapat didedahkan dengan peluang-peluang pekerjaan, dapat mengetahui kerja yang sesuai, dan sebagainya demi memikirkan masa depan.
Pada awalnya, kursus yang didaftar ini rasa terbeban juga kerana tugas individu amat berat rasanya. Tugasnya, perlu mencari maklumat kerjaya di mana-mana tempat pekerjaan melibatkan kerajaan, swasta, badan berkanun, persendirian, dan sebagainya, asalkan tempat tersebut sememangnya terdapat peluang-peluang pekerjaan tetapi mungkin tiada pendedahan kepada mahasiswa. Misalnya, dalam UM sendiri pun bukan hanya pensyarah, pengetua, penyelia, namun terdapat banyak lagi peluang pekerjaan yang lain.
Oleh itu, aku terpaksa juga mencari dan meneruskannya, jika tidak aku tiada masa lagi memandangkan semester hadapan adalah 'last sem.' buatku.
Masa untuk mencari maklumat tersebut tidak lama, oleh itu aku terpaksa meminta bantuan seorang rakan kerana ayahnya bekerja di sebuah hotel di Kota Bharu. Jadi, sewaktu cuti pertengahan sem., aku bertungkus lumus pergi ke sana semata-mata untuk dapatkan maklumat tersebut. Alhamdulillah, walaupun maklumat mengenai gaji, dan sesetengahnya adalah SULIT, sekurang-kurangnya aku berusaha. Namun, sebagai persediaan lagi, aku hanya mengambil maklumat tersebut dengan rakan-rakan yang lain tanpa pergi ke tempat tersebut dan juga sedikit sebanyak daripada sumber internet. He3. Maklumlah, takkan nak pergi banyak kali, yang dapatnya tak seberapa. Huhu.. Janji ada maklumat untuk diberikan bertujuan mengadakan Pameran Kerjaya sempena Pesta Pendidikan Ko-Kurikulum, sem.1, sesi 2011/2012.
Logo, Career Consultant Sdn. Bhd.
Tugasku untuk pameran tersebut ialah sebagai Ketua Unit Multimedia dan Publisiti. Nasib baik la aku ada juga sedikit sebanyak kemahiran untuk hasilkan video, design poster, logo, dan sebagainya. Sebenarnya, aku sudah biasa hasilkan video menggunakan movie maker tetapi bila pensyarah menunjukkan video pameran oleh pelajar-pelajar sem. sebelumnya, aku pun mestilah kena buat lagi gempak!!! dari itu. Maka, tak tidur malam la mencari dan memuat turun 'software' terbaru, iaitu Cyberlink Power Director. Masalahnya, untuk mencarinya senang tetapi perlukan 'license key'. Oleh itu, sibuk mencarinya dan alhamdulillah, akhirnya dapat dan dapatku teruskan perjuangan. :)
Poster
Tahniah!!!
Rasanya tiada apa lagi yang ingin dikongsikan. Cuma perkara yang paling gembira setelah penat berjuang ialah, kemenangan dalam kategori pameran, iaitu mendapat Johan. Alhamdulillah, penat lelah pergi kelas dan sebagainya terbalas dengan kegembiraan. Sekian terima kasih. :)
"Cinta adalah fitrah hati. Hati yang tidak memiliki rasa cinta adalah
hati yang tidak sihat atau mungkin juga sudah mati."
Bila usia semakin meningkat dewasa, sebagai insan bernama lelaki biasa, semestinya bisa kujatuh cinta. Pelbagai ujian dan cabaran dalam menjalani hidup yang menunjukkan angka 23 tahun umurku sekarang (ikut bulan baru 22, he3). Dalam menjalani hidup ini, kuakui memang pernah terjebak dalam hal-hal melibatkan hati dan perasaan.
Namun, diri masih tidak tersasar jauh di jalan-Mu walaupun latar belakang pendidikan hanya bersekolah di sekolah biasa, bukan bersekolah di sekolah agama. Jika ingin kuceritakan semuanya mungkin dapat kuhasilkan sebuah novel. Cerita yang sudah berlalu itu, jadikan sebagai pengalaman hidup. Hidup ini semakin hari semakin mencari arah kebaikan, sentiasa sedar akan cinta-Nya yang merupakan cinta sejati, cinta abadi.
Jika sebelum ini, andai ada sebuah pertemuan yang membawa hati dan perasaan ke arah cinta, cinta itu menyebabkan diri ini celupar tuk' meluahkannnya. Melihat kepada teman-teman yang berpacaran, tipulah jika sebagai lelaki tidak inginkannya tetapi diri tidak pernah begitu kerana kutahu batas-batas agama.
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah
perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat
(yang membawa kepada kerosakan)” [al-Isra’:32].
Kupercaya bahawa semua orang tahu mengenainya lebih-lebih lagi yang beragama Islam tetapi biasalah dek pengaruh budaya asing dan sebagainya, perkara itu menjadi budaya yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. Diriku juga bukan seorang yang betul-betul baik dan kerana itulah ku ingin terus berusaha.
Yang berlalu, biarkan ia pergi. Sekarang ini, kutahu dan kusedar, jika kita usaha ke arah kebaikan, insya'Allah jodoh kita juga akan sama seperti kita, bukan mengharapkan seseorang yang kita sangkakan elok untuk kita semata-mata, yang penting harapan itu hanya ada pada Allah S.W.T.
“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat,
dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah)
dan pengurniaan yang mulia" [an-Nur:26].
Dengan kuasa-Mu? Ya, dengan kuasa Ilahi, pasti seorang insan itu akan terus dibelenggu dengan perihal hati dan perasaan. Bukan bertujuan ke arah keburukan, namun perlulah meletakkan rasa cinta, sayang, kasih, dan sebagainya itu kerana Ilahi bukan kerana nafsu semata-mata. Mengenai diriku, andai hadir lagi sebuah pertemuan yang mungkin kurasa dapat membawa kebahagiaan nanti, ku tak ingin lagi luahkan isi hati ini selagi diri tidak mampu. Bukan ingin pendamkan perasaan, namun bak kata Devotees; "Bukanlah aku sengaja, melindungi rasa di jiwa, namun bimbang diri kan terleka, hanyut dibuai angan dan mimpi indah hingga terabai segala cita, sedang khayalan tak menjanjikan segunung kebahagian sebagai mahar hantaran....". Sambung sendirilah ya, huhu...
Sebagai insan biasa, tak lari dari mengharapkan seseorang yang dapat membawaku ke arah kebaikan kerana hati ini perlukan bimbingan dalam agama untuk menjalani kehidupan di dunia. Walaupun tugas seorang lelaki membimbing wanita atau isteri, namun tak salah kan andai ku jua inginkan seseorang yang dapat mengingatkanku kepada Allah S.W.T. tatkala waktu senang atau susah. Moga sama-sama menuju ke syurga-Nya yang abadi kelak. Insya'ALLAH.
Perasaan cinta yang hadir dan mula berputik dalam hati ini, biarlah dahulu kupendamkan agar tidak cepat berkembang mekar dan akhirnya terus layu dengan begitu mudah sahaja kerana cinta yang sebegitu mungkin tidak akan kekal lama, akan hilang nikmat dan keindahannya. Apa yang penting, segala perasaan ini kuserahkan segalanya kepada Ilahi. Diri tetap berusaha tetapi bukan dengan mengharapkan 'couple' atau sewaktu dengannya. Moga diri dapat terus berjihad menjaga hati, menyimpan perasaan hati, dan terus bersabar sebelum tiba masanya. Walaupun pahit dan perit kerana mungkin suatu hari nanti, ia bisa berlalu pergi tanpa kusempat berbuat apa-apa dan mendapatkan cinta yang kuharapkan, namun bak kata UNIC; "Biar sendiri hingga hujung nyawa, asal tak sepi dari kasih-Nya, kerna sesungguhnya hakikat cinta hanya Dia Yang Esa..." Tekalah ya tajuk apa...hehe
Sekian sahajalah untuk kali ini, ambil masa kejap walaupun berada dalam zon musim peperiksaan sekarang ini. Apa yang tersalah bicara, moga dapat dimaafkan dan diperbetulkan. Apa yang penting, keikhlasan hati berkongsi sebuah cerita yang diharapkan dapat membawa kebaikan kepada semua. Sebelum itu, dengarkan sebuah lagu yang penuh bermakna liriknya...:) Wallahu'alam bissawab...
Update Album: Album terbaru daripada UNIC. Keseluruhan lagu hasil ciptaan mereka sendiri. Menampilkan 3 lagu baru, iaitu Iqra, Seiring Sehaluan, dan Binnabil Huda (Versi Melayu).