Rakan...

Isnin, 22 April 2013

Promo Album Hijjaz - Janji (2013)

Alhamdulillah, sudah ada lagu-lagu terbaru HIJJAZ-JANJI (2013). 
Sudah juga siapkan buat video preview lagu-lagu Hijjaz... 
Memang terbaik...:D 



Hijjaz - Janji (2013)

1. Kau Pemilik Cinta
2. Janji Khalifah
3. Laukana Bainana
4. Hanyalah Iman
5. Pemimpin 3 Darjat
6. Penghulu Syurga
7. Harapan Ummah
8. Akulah Pencinta
9. Pemula Langkah



Ahad, 21 April 2013

Puisi : Tinta Si Pengemis














~Tinta Si Pengemis~

Tika kisah terselit di kalbu
Coretan indah terlakar syahdu
Mengemis kasih cinta berpadu
Menagih kasih cinta Yang Satu…

Bermula kembara mujahidah
Ibarat pejuang meniti hijrah
Bicaranya dakwah hadir terserlah
Tertulis lembaran sebuah tarbiah…

Tinta sekadar jadi sandaran
Luahan ilmu kalam Tuhan
Mencorak warna Islam kehidupan
Harapan tersebar segala kebaikan…

Pengemis cinta rela diuji
Menjadi hamba cintakan Ilahi
Yang tertulis bakal menginsafi
Terlukis gambaran pesona syurgawi…

Terpalit rasa ketenangan hati
Walau ujian menanti pasti
Terpasak teguh ikatan janji
Percaya akan takdir Ilahi....


M.Hafizie
21.04.2013
Kuala Lumpur

Sabtu, 20 April 2013

Hilwan - Tak Jemu Menyayangiku

Alhamdulillah, ini album kedua yang beli secara 'online' selamat sampai kat rumah.

HILWAN - Tak Jemu Menyayangiku 
01 Allahu Rabbuna - Hilwan02 Tak Jemu Menyayangiku - Hilwan
03 Dengarkan Sahabat - Hilwan
04 Cahaya-Mu - Hilwan
05 Sebuah Cinta - Hilwan feat. Halim Ahmad
06 Dunia Impianku - Hilwan
07 Tak Jemu Menyayangiku (Crystal Version)
08 Sebuah Cinta (Cyrstal Version)


Untuk tempahan, hubungi:

Syahman : 012 9292250
Wan Zuhari: 0145046085
Faiz : 0135262529


Antara lirik lagu yang menjadi pilihan :









Selasa, 16 April 2013

Cerpen - Kekasih


Kekasih…

Senyum kemboja yang setia menemani sepi pusara menantikan kehadiranku. Terimbau kembali suatu kenangan yang sentiasa terpahat kukuh dalam ingatanku. Tanpa sedar, air jernih dari kelopak mataku turut sama gugur membasahi pipi yang akhirnya dibiarkan kekeringan dicium bayu semilir.

Saat itu, aku bersyukur kerana pernah dikurniakan seorang bidadari dunia yang setia menemani diriku tatkala suka, mahupun duka. Sungguh, aku telah mengecap nikmat kebahagiaan hidup di dunia walaupun bermulanya dengan segala keperitan dan kesusahan. Hadir dirimu sebagai anugerah yang tidak ternilai pemberian Ilahi. Dikaulah kekasih hatiku, isteriku.

Aku tiada sedar bahawa segala yang di dunia ini hanyalah sementara, sekadar tempat persinggahan yang pastinya akan kembali kepada Yang Menciptakan. Mungkin aku lupa pada ayat cinta-Nya; “Katakanlah, kesenangan di dunia ini hanya sebentar (QS:An-Nisa:77)”.

Bukan mudah untuk memiliki dirimu, lantaran diriku hanyalah sekadar lelaki biasa yang seringkali terjatuh dan akhirnya bangkit semula berusaha agar mampu dikurniakan peneman hidup sepertimu. Yang nyata, harapanku ingin dikau menjadi insan yang menemani hidupku, yang bakal menjadi suri hatiku, dan ibu kepada bakal cahaya mata kita, buah hati cinta kita.

Suatu masa dahulu, mungkin ia hanyalah angan-angan, mungkin jua sekadar impian, atau mungkin kenyataan yang tidak bisa diriku kecapi. Namun, takdir Ilahi mampu menentukan dan menciptakan segala-galanya yang mustahil kepada tidak mustahil menjadi realiti tanpa dapat dihitung atau diubah lagi. Benarlah ayat cinta-Nya; “Sesungguhnya apabila Dia hendak menciptakan sesuatu, hanyalah dia berfirman, “Jadilah!” Maka, terjadilah ia (QS:Yasin:82)”. Itulah kuasa kun fayakun Allah, Tuhan sekalian alam.

Ketentuan Tuhan  pasti aku terima dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Segala persoalan yang sudah lama tertanam jauh di sudut hatiku kian terjawab. Doaku selama ini telah dimakbulkan. Aku bukanlah ditakdirkan berada dalam pentarbiahan yang dapat dikatakan sempurna. Sekadar dicampakkan ke dalam zon ilmu dunia yang belum pasti berguna kerana tiada guna andai tiada ilmu dari-Nya. Bukan tidak pernah mendapat peluang belajar agama, namun yang nyata bukan ditakdirkan khusus dalam bidang itu. Jalan hidupku mungkin boleh dikatakan agak sedikit condong ke arah yang tidak sepatutnya.

Bila diri kian meningkat dewasa, barulah teraba-raba mencari ilmu yang sebenar-benarnya, ilmu yang mampu membawa diri dalam mengenal diri-Nya. Alangkah ruginya waktu sedarku apabila akhirnya dirasakan agak ketinggalan dan terlewat dalam mencari ilmu untuk ke sana. Siapa patut dipersalahkan? Ibu bapa? Takdir? Atau Tuhan? Semuanya sudahpun berlalu, tidak elok dipersoalkan dan menyalahkan sesiapa. Tiada apa yang patut dikesalkan kerana kekurangan itulah yang membina semangat untuk berjuang kembali walaupun berkejar-kejaran dalam mencari dan mencantumkan cebisan-cebisan ilmu. Yang diperlukan hanyalah kepercayaan kepada Tuhan dengan diselitkan segala kekuatan dalam terus beristiqamah.

Subhanallah, indahnya wanita solehah perhiasan dunia”, bisik hati seorang lelaki tatkala menyedari kehadiran ciptaan Ilahi. Kerana kesolehannya, siapa sahaja bisa tertarik untuk memiliki bukan untuk dipermainkan sesuka hati. Sampailah hadirnya usaha yang kelihatannya menjurus ke arah yang positif. Sebaliknya, ia hanyalah suatu usaha yang tidak sepatutnya diperlukan. Mungkin pada pandangan mata biasa, dirasakan indah disebabkan perubahannya yang baik. Tetapi, perubahan itu bukan dari dalam diri yang ikhlas disebabkan hanya terpesona dengan keindahan wanita solehah yang ingin dijadikan isteri. Sudah tersasar akhirnya dari landasan yang sepatutnya diikuti.

Niat? Sesiapapun mampu tanamkan niat yang baik tetapi caranya tetap mendatangkan keburukan. Bukan kerana insan yang dikasihi, dicintai, dan mahupun disayangi semata-mata, namun hanyalah kerana cinta-Nya. Itulah yang sebaik-baiknya patut ditanamkan dalam niat hati walaupun hijrahnya ke arah kebaikan. Hanya kepada Tuhanlah sebaik-baiknya patut diletakkan segala harapan kerana yang pasti, Dialah yang Maha Menciptakan. Berubah kerana inginkan wanita solehah yang diharapkan akan menjadi isteri? Atau berubah dengan harapan Allah hadirkan seseorang yang baik dan solehah sesuai buat diri? Pilihan itu buat diriku keliru seketika, suatu masa dahulu.

Akhirnya, yang dapat hanyalah rasa kecewa, merana, dan sengsara hanya kerana wanita perhiasan dunia. “Ahh! Serik rasanya jatuh cinta”, jerit hati seorang lelaki yang kecewa. Cukup sudah terlena dan terleka. Masanya untuk sedar dan terjaga dari terus dibuai arus dunia. Sampailah akhirnya, hanya doa jua pengharapan pada Yang Esa. Tidak mampu lagi hamba-Mu ini terus membiarkan diri dibaluti debu-debu dosa.
Sedar-sedar, tiada lagi bermain agenda cinta manusia. Akhirnya, tanpa sedar jua hadir dirinya sebagai anugerah buat insan yang setia mengharap belas kasih-Nya. Kejayaan telahpun dimiliki setelah bangkit dari terjatuh. Diriku waktu itu masih tercari-cari haluan diri dan bimbingan hidup ke arah menggapai cinta Ilahi. Lantaran diri masih kekurangan, hadirnya dirimu sebagai teman.

Akhirnya, terlafaz sudah satu ikatan suci. Saat lafaz sakinah diungkapkan terasa nikmat akhirnya. Ingin sekali terbang melayang setinggi-tingginya hanya untuk mengungkapkan rasa syukur kepada Ilahi di atas kurniaan-Nya yang tidak ternilai ini. Rupanya, dirimulah yang sebenarnya ditakdirkan untuk diriku, diriku yang serba kekurangan. Alhamdulillah.

Duhai kekasihku, sedaya upaya aku binakan sebuah mahligai indah yang menjadi tanda agungnya cinta kita. Duhai puteriku, sekuat tenaga aku ciptakan sebuah istana kasih yang tersergam indah menjadi bukti cinta kita yang sejati. Ku hiaskan pula dengan mekarnya bunga-bunga yang membawa haruman dari syurga-Nya. Akhirnya berjaya aku mahkotakan dirimu menjadi permaisuri hatiku, belahan jiwaku. Kaulah bimbinganku, akulah bimbinganmu. Kaulah penyejuk mata dan penenang hatiku.

Seringkali aku berfikir bahawa diriku serba kekurangan, mungkin tiada apa yang dapat aku diberikan. Hanya sebuah keikhlasan dalam mencintaimu sebagaimana kasihnya dirimu kepada Ilahi. Begitu indahnya sebuah bahtera perkahwinan yang layarnya diperbuat daripada iman dan taqwa. Walaupun sesekali dilanda badai, namun tetap jua kembali teguh dan terus mampu berlayar menuju landasan cinta hakiki, berpandukan pula kompas cinta Ilahi. Itulah anugerah Tuhan yang sangat bernilai di mata kasih seorang suami.

Jatuh bangunku tetap bersamamu. Segalanya kian terurus dengan sifat ringan tulangmu. Penat lelah dirasakan bahagia tanpa gundah gulana. Diriku jua semakin terdidik dengan mengenal dirimu yang sememangnya sudah sekian lama terhijab dengan sinar iman. Saat terjaga dari lenaku, pagiku sentiasa dihiasi dengan ayunya wajahmu yang memberiku kekuatan dan semangat untuk meneruskan kehidupan ini. Tiada kata mampu kuungkapkan, hanya lafaz terima kasih kekasihku, terima kasih Tuhanku.

Saat-saat indah bersamamu bukan selama-lamanya buatku. Datangnya angin kali ini begitu kencang sekali bagaikan badai yang melanda meruntuhkan mahligai yang sekian lama terbina. Bukan aku tidak mahu menghalangnya, namun kali ini terpaksa jua aku merelakannya kerana ia datang dari ketentuan dan takdir Ilahi. Sebagai hamba-Nya yang lemah, segala yang datang dari-Nya terpaksa dipulangkan kembali kepada-Nya.

Aku sedar akan ayat cinta-Nya; “Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan: Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya jualah kami kembali (QS:Al-Baqarah:156)”. Sudah suratan takdir kau pergi dulu tanpa menunggu diriku yang kini semakin kesepian tanpa cintamu. Aku tahu, realitinya tidak mungkin sama seperti yang sentiasa tersurat dalam kebanyakan novel cinta yang berjanji setia sehidup semati. Sampai masanya, kematian pasti akan datang menjemput jua tidak kira masa dan ketika.

Aku tahu bukan tangisan dan ratapan yang kau pinta dariku. Hanya yang kau mahukan keikhlasan dariku merelakan dirimu pergi sebagaimana kehendak Ilahi. Perginya dirimu sudah cukup menjadi pengajaran buatku. Kematianmu suatu tanda bahawa hidupku jua hanya sementara. Kini, kembali kepada realiti bahawa dirimu sudah sekian lama pergi. Tiada lagi dapatku tatap jernihnya wajahmu dalam setiap hariku. Aku reda dan pasrah di atas segala-galanya.  Hanya mampu kupahatkan doa buat dirimu tatkala terjaga mahupun diriku terlena. Pusaramu juga akan tetap kusiramkan dengan cinta sejati kita.

Senja kian pantas berlabuh. Akhirnya aku tersedar dari diulit kenangan lalu saat bersamamu. Masa untukku pulang menjalankan tanggungjawab sebagai insan yang masih hidup. Kelihatannya unggas-unggas berterbangan mencari jalan pulang. Aku tinggalkan pusaramu sepi sendiri ditemani pepohon Kemboja. Semoga dikau aman di sana. “Jom kita pulang?”, ajakanku kepadamu. “Eh! Bukan tapi ajakanku kepada anak kita, buah hati cinta kita”, bisik hatiku sambil tersenyum.

Bayangan dirimu kini ada pada puteri kita. Akanku didiknya sebagaimana dikau terdidik selama ini dengan sinaran iman dan taqwa. Itu janjiku kepadamu. Andainya takdir kita dapat bersama lagi, ingin diriku hidup bahagia bersamamu. Semoga cinta kita selama ini terlakar di pintu syurga. Selamat tinggal kekasihku, cinta kita pasti mekar kembali… J

M. Hafizie
9 April, 2013.








Sabtu, 13 April 2013

Puisi : Bicara Penantianku
















~BICARA PENANTIANKU~

Aku diselubungi resah
Sukar untukku melangkah
Bagai menanti secebis harapan
Tidakku pasti apa yang diinginkan

Seseorang bertanya;
Menantikan apa?
Jawabku tiada apa-apa,
Mungkin sekadar perasaan manusia biasa
yang sesekali merasakan ada yang kurang
Ada yang masih belum cukup
Adat manusia memang begitu
Sukar nak hadir rasa syukur

Yang nyata,
tidakkan hadir harapan tanpa usaha
Tidak berguna sekadar bermimpi di siang hari
Sesekali teringat lirik lagu Hijjaz;
"Jika bermimpi biar setinggi langit,
andainya jatuh masih disambut awan,
Bukalah mata lihatlah sekeliling,
Masih banyak yang belum dicapai tangan..."

Mimpi yang disertakan dengan usaha
Itulah namanya impian
Mungkin jawapannya;
"Menantikan impian jadi kenyataan"

Fikirku, tentu sukar sekali
Bukan sekadar menanti pasti
Hanya usaha mampu mengubati
Masih banyak yang belum diterokai

Akhirnya tercapai satu ikatan kata
Tersimpul kukuh jauh di sudut jiwa
Harusku berusaha sedaya upaya
Hanya pada-Nya disertakan harapan
Kerna aku percaya akan janji-janji Tuhan...

M.Hafizie 
22.04.2013
Kuala Lumpur.