Kekasih…
Senyum kemboja yang setia menemani sepi
pusara menantikan kehadiranku. Terimbau kembali suatu kenangan yang sentiasa
terpahat kukuh dalam ingatanku. Tanpa sedar, air jernih dari kelopak mataku
turut sama gugur membasahi pipi yang akhirnya dibiarkan kekeringan dicium bayu
semilir.
Saat itu, aku bersyukur
kerana pernah dikurniakan seorang bidadari dunia yang setia menemani diriku tatkala
suka, mahupun duka. Sungguh, aku telah mengecap nikmat kebahagiaan hidup di
dunia walaupun bermulanya dengan segala keperitan dan kesusahan. Hadir dirimu
sebagai anugerah yang tidak ternilai pemberian Ilahi. Dikaulah kekasih hatiku,
isteriku.
Aku tiada sedar bahawa
segala yang di dunia ini hanyalah sementara, sekadar tempat persinggahan yang
pastinya akan kembali kepada Yang Menciptakan. Mungkin aku lupa pada ayat
cinta-Nya; “Katakanlah, kesenangan di dunia ini hanya sebentar (QS:An-Nisa:77)”.
Bukan mudah untuk
memiliki dirimu, lantaran diriku hanyalah sekadar lelaki biasa yang seringkali terjatuh
dan akhirnya bangkit semula berusaha agar mampu dikurniakan peneman hidup
sepertimu. Yang nyata, harapanku ingin dikau menjadi insan yang menemani
hidupku, yang bakal menjadi suri hatiku, dan ibu kepada bakal cahaya mata kita,
buah hati cinta kita.
Suatu masa dahulu, mungkin
ia hanyalah angan-angan, mungkin jua sekadar impian, atau mungkin kenyataan
yang tidak bisa diriku kecapi. Namun, takdir Ilahi mampu menentukan dan
menciptakan segala-galanya yang mustahil kepada tidak mustahil menjadi realiti
tanpa dapat dihitung atau diubah lagi. Benarlah ayat cinta-Nya; “Sesungguhnya
apabila Dia hendak menciptakan sesuatu, hanyalah dia berfirman, “Jadilah!”
Maka, terjadilah ia (QS:Yasin:82)”. Itulah kuasa kun fayakun Allah, Tuhan sekalian alam.
Ketentuan Tuhan pasti aku terima dengan hati yang terbuka dan
berlapang dada. Segala persoalan yang sudah lama tertanam jauh di sudut hatiku
kian terjawab. Doaku selama ini telah dimakbulkan. Aku bukanlah ditakdirkan
berada dalam pentarbiahan yang dapat dikatakan sempurna. Sekadar dicampakkan ke
dalam zon ilmu dunia yang belum pasti berguna kerana tiada guna andai tiada
ilmu dari-Nya. Bukan tidak pernah mendapat peluang belajar agama, namun yang
nyata bukan ditakdirkan khusus dalam bidang itu. Jalan hidupku mungkin boleh
dikatakan agak sedikit condong ke arah yang tidak sepatutnya.
Bila diri kian
meningkat dewasa, barulah teraba-raba mencari ilmu yang sebenar-benarnya, ilmu
yang mampu membawa diri dalam mengenal diri-Nya. Alangkah ruginya waktu sedarku
apabila akhirnya dirasakan agak ketinggalan dan terlewat dalam mencari ilmu
untuk ke sana. Siapa patut dipersalahkan? Ibu bapa? Takdir? Atau Tuhan?
Semuanya sudahpun berlalu, tidak elok dipersoalkan dan menyalahkan sesiapa.
Tiada apa yang patut dikesalkan kerana kekurangan itulah yang membina semangat
untuk berjuang kembali walaupun berkejar-kejaran dalam mencari dan mencantumkan
cebisan-cebisan ilmu. Yang diperlukan hanyalah kepercayaan kepada Tuhan dengan
diselitkan segala kekuatan dalam terus beristiqamah.
“Subhanallah, indahnya wanita solehah perhiasan dunia”, bisik hati
seorang lelaki tatkala menyedari kehadiran ciptaan Ilahi. Kerana kesolehannya,
siapa sahaja bisa tertarik untuk memiliki bukan untuk dipermainkan sesuka hati.
Sampailah hadirnya usaha yang kelihatannya menjurus ke arah yang positif.
Sebaliknya, ia hanyalah suatu usaha yang tidak sepatutnya diperlukan. Mungkin
pada pandangan mata biasa, dirasakan indah disebabkan perubahannya yang baik. Tetapi,
perubahan itu bukan dari dalam diri yang ikhlas disebabkan hanya terpesona
dengan keindahan wanita solehah yang ingin dijadikan isteri. Sudah tersasar
akhirnya dari landasan yang sepatutnya diikuti.
Niat? Sesiapapun mampu
tanamkan niat yang baik tetapi caranya tetap mendatangkan keburukan. Bukan
kerana insan yang dikasihi, dicintai, dan mahupun disayangi semata-mata, namun
hanyalah kerana cinta-Nya. Itulah yang sebaik-baiknya patut ditanamkan dalam
niat hati walaupun hijrahnya ke arah kebaikan. Hanya kepada Tuhanlah
sebaik-baiknya patut diletakkan segala harapan kerana yang pasti, Dialah yang
Maha Menciptakan. Berubah kerana inginkan wanita solehah yang diharapkan akan menjadi
isteri? Atau berubah dengan harapan Allah hadirkan seseorang yang baik dan
solehah sesuai buat diri? Pilihan itu buat diriku keliru seketika, suatu masa
dahulu.
Akhirnya, yang dapat
hanyalah rasa kecewa, merana, dan sengsara hanya kerana wanita perhiasan dunia.
“Ahh! Serik rasanya jatuh cinta”, jerit hati seorang lelaki yang kecewa. Cukup
sudah terlena dan terleka. Masanya untuk sedar dan terjaga dari terus dibuai
arus dunia. Sampailah akhirnya, hanya doa jua pengharapan pada Yang Esa. Tidak
mampu lagi hamba-Mu ini terus membiarkan diri dibaluti debu-debu dosa.
Sedar-sedar, tiada lagi
bermain agenda cinta manusia. Akhirnya, tanpa sedar jua hadir dirinya sebagai
anugerah buat insan yang setia mengharap belas kasih-Nya. Kejayaan telahpun
dimiliki setelah bangkit dari terjatuh. Diriku waktu itu masih tercari-cari
haluan diri dan bimbingan hidup ke arah menggapai cinta Ilahi. Lantaran diri
masih kekurangan, hadirnya dirimu sebagai teman.
Akhirnya, terlafaz
sudah satu ikatan suci. Saat lafaz sakinah diungkapkan terasa nikmat akhirnya.
Ingin sekali terbang melayang setinggi-tingginya hanya untuk mengungkapkan rasa
syukur kepada Ilahi di atas kurniaan-Nya yang tidak ternilai ini. Rupanya,
dirimulah yang sebenarnya ditakdirkan untuk diriku, diriku yang serba
kekurangan. Alhamdulillah.
Duhai kekasihku, sedaya
upaya aku binakan sebuah mahligai indah yang menjadi tanda agungnya cinta kita.
Duhai puteriku, sekuat tenaga aku ciptakan sebuah istana kasih yang tersergam
indah menjadi bukti cinta kita yang sejati. Ku hiaskan pula dengan mekarnya
bunga-bunga yang membawa haruman dari syurga-Nya. Akhirnya berjaya aku
mahkotakan dirimu menjadi permaisuri hatiku, belahan jiwaku. Kaulah
bimbinganku, akulah bimbinganmu. Kaulah penyejuk mata dan penenang hatiku.
Seringkali aku berfikir
bahawa diriku serba kekurangan, mungkin tiada apa yang dapat aku diberikan.
Hanya sebuah keikhlasan dalam mencintaimu sebagaimana kasihnya dirimu kepada
Ilahi. Begitu indahnya sebuah bahtera perkahwinan yang layarnya diperbuat
daripada iman dan taqwa. Walaupun sesekali dilanda badai, namun tetap jua
kembali teguh dan terus mampu berlayar menuju landasan cinta hakiki,
berpandukan pula kompas cinta Ilahi. Itulah anugerah Tuhan yang sangat bernilai
di mata kasih seorang suami.
Jatuh bangunku tetap
bersamamu. Segalanya kian terurus dengan sifat ringan tulangmu. Penat lelah
dirasakan bahagia tanpa gundah gulana. Diriku jua semakin terdidik dengan
mengenal dirimu yang sememangnya sudah sekian lama terhijab dengan sinar iman. Saat
terjaga dari lenaku, pagiku sentiasa dihiasi dengan ayunya wajahmu yang
memberiku kekuatan dan semangat untuk meneruskan kehidupan ini. Tiada kata
mampu kuungkapkan, hanya lafaz terima kasih kekasihku, terima kasih Tuhanku.
Saat-saat indah
bersamamu bukan selama-lamanya buatku. Datangnya angin kali ini begitu kencang
sekali bagaikan badai yang melanda meruntuhkan mahligai yang sekian lama
terbina. Bukan aku tidak mahu menghalangnya, namun kali ini terpaksa jua aku
merelakannya kerana ia datang dari ketentuan dan takdir Ilahi. Sebagai
hamba-Nya yang lemah, segala yang datang dari-Nya terpaksa dipulangkan kembali
kepada-Nya.
Aku sedar akan ayat
cinta-Nya; “Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan:
Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya jualah kami kembali (QS:Al-Baqarah:156)”. Sudah suratan
takdir kau pergi dulu tanpa menunggu diriku yang kini semakin kesepian tanpa
cintamu. Aku tahu, realitinya tidak mungkin sama seperti yang sentiasa tersurat
dalam kebanyakan novel cinta yang berjanji setia sehidup semati. Sampai
masanya, kematian pasti akan datang menjemput jua tidak kira masa dan ketika.
Aku tahu bukan tangisan
dan ratapan yang kau pinta dariku. Hanya yang kau mahukan keikhlasan dariku
merelakan dirimu pergi sebagaimana kehendak Ilahi. Perginya dirimu sudah cukup
menjadi pengajaran buatku. Kematianmu suatu tanda bahawa hidupku jua hanya
sementara. Kini, kembali kepada realiti bahawa dirimu sudah sekian lama pergi. Tiada
lagi dapatku tatap jernihnya wajahmu dalam setiap hariku. Aku reda dan pasrah
di atas segala-galanya. Hanya mampu
kupahatkan doa buat dirimu tatkala terjaga mahupun diriku terlena. Pusaramu
juga akan tetap kusiramkan dengan cinta sejati kita.
Senja kian pantas
berlabuh. Akhirnya aku tersedar dari diulit kenangan lalu saat bersamamu. Masa
untukku pulang menjalankan tanggungjawab sebagai insan yang masih hidup.
Kelihatannya unggas-unggas berterbangan mencari jalan pulang. Aku tinggalkan
pusaramu sepi sendiri ditemani pepohon Kemboja. Semoga dikau aman di sana. “Jom
kita pulang?”, ajakanku kepadamu. “Eh! Bukan tapi ajakanku kepada anak kita, buah
hati cinta kita”, bisik hatiku sambil tersenyum.
Bayangan dirimu kini
ada pada puteri kita. Akanku didiknya sebagaimana dikau terdidik selama ini
dengan sinaran iman dan taqwa. Itu janjiku kepadamu. Andainya takdir kita dapat
bersama lagi, ingin diriku hidup bahagia bersamamu. Semoga cinta kita selama
ini terlakar di pintu syurga. Selamat tinggal kekasihku, cinta kita pasti mekar
kembali… J
M.
Hafizie
9
April, 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan