Rakan...

Rabu, 16 November 2011

Budaya Dalam Sesebuah Cerita (Detective Conan)

Assalamualaikum.... 
Sebenarnya, penulisan ini merupakan tugasan aku untuk semester sebelum ini. Walaupun aku berada dalam Jabatan Kesusasteraan Melayu, iaitu  sebagai major, namun untuk minor pula, aku ambil Sosio-Budaya Melayu. Oleh itu, segala pembelajaran biasanya melibatkan budaya di Alam Melayu seperti ekonomi, cara hidup, politik, agama, dan sebagainya sesuai dengan subjek yang diambil. Ini merupakan subjek "Masyarakat Melayu dalam Era Industrialisasi dan Globalisasi".

1.0 Objektif Kajian:

Melihat makna budaya yang terdapat dalam episod cerita Detective Conan yang telah dipilih, iaitu dari sudut watak, pakaian, peralatan, tingkah laku, dan sebagainya. Melihat kesan budaya global yang terdapat dalam episod ini kepada budaya .

2.0 Pengenalan:

Budaya adalah suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sesebuah kelompok. Budaya terbentuk dari banyak unsur seperti, sistem agama, politik, adat istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan, dan karya seni. Budaya adalah suatu pola hidup yang menyeluruh. Budaya bersifat kompleks, abstrak, dan luas. Banyak aspek budaya turut menentukan perilaku komunikatif. Unsur-unsur sosio-budaya ini tersebar dan meliputi banyak kegiatan sosial manusia. Manusia mempunyai budaya bagi membolehkan mereka berinteraksi antara satu sama lain untuk mencapai matlamat sosial mereka. Budaya mengandungi informasi tentang nilai, falsafah, pemikiran, dan juga pandangan dunia. Merupakan sistem tingkah laku dan norma dalam masyarakat.

3.0 Latar Belakang Cerita:

Detective Conan merupakan manga dan anime detektif karya Gosho Aoyama yang diterbitkan dalam majalah Shonen Sunday Mingguan sejak 1994. Syarikat Tora Aman menerbitkan komik manga Detective Conan dalam Bahasa Melayu bagi pembaca Malaysia. Versi anime dihasilkan oleh Tokyo Movie Shinsha dan telah menayangkan lebih 450 episod siri televisyen yang masih bersiaran di kaca televisyen Jepun dan 13 buah filem telah pun dihasilkan. Di Malaysia, anime ini disiarkan di TV3 dan juga di Astro Ceria saluran 611 .

4.0 Sinopsis Episod yang Dipilih (Episod 1, Kes Pembunuhan Di Roller Coaster):

Mengisahkan Shinichi terkenal sebagai detektif remaja di bahagian Timur Jepun. Pada suatu hari, Shinichi pergi ke taman permainan yang bernama "Taman Tropika" bersama Ran Mouri. Dia terlibat dengan kes apabila penunggang roller coaster, Kishida, hilang kepalanya. Dia berjaya menyelesaikan kes tersebut dan ketika kepulangannya, dia menyaksikan satu pertemuan yang berlaku melibatkan sekumpulan lelaki yang memakai pakaian serba hitam. Malangnya, kehadirannya telah diketahui oleh salah seorang daripada mereka dan mereka memukul serta memberinya racun ujian yang bernama Apotoxin-4869 (APTX4869) yang sepatutnya membunuh Shinichi. Walau bagaimanapun, racun itu tidak membunuhnya tetapi sebaliknya, mengecutkan badannya hingga ke saiz pelajar sekolah rendah dan menukar namanya kepada Edogawa Conan.

5.0 Hasil Pemerhatian:

5.1 Watak:

Kudou Shinichi /Edogawa Conan:
 
Kudou Shinichi merupakan seorang detektif yang berusia 17 tahun dan telah berubah fizikal menjadi seorang budak. Seterusnya, beliau telah menukarkan nama sebagai Edogawa Conan. Badannya berubah dan mengecut menjadi kecil disebabkan dia telah dipukul dan dipaksa oleh Kumpulan Baju Hitam menelan sejenis racun yang masih berada di tahap percubaan, iaitu racun APTX-4869. Justeru itu, dia sedang berusaha mencari penawar racun APTX-4869 dan Kumpulan Berbaju Hitam yang memaksanya meminum racun tersebut bagi mengembalikan tubuhnya kepada asal dan membongkar misteri Kumpulan Baju Hitam. Bagi menyembunyikan identiti dirinya, dia kini tinggal bersama sahabat baiknya, Ran dan ayah Ran. Shinichi sangat menyukai Ran, namun, dia tidak berani meluahkan perasaannya. Selain itu, Ran sering memanggilnya dengan gelaran seorang "otaku cerita misteri" kerana selalu membaca cerita misteri atau jenis penyiasatan. Malah, di rumahnya penuh dengan buku-buku jenis tersebut kerana pekerjaan ayahnya sebagai penulis cerita misteri. Di samping itu, dia sangat mengkagumi detektif ciptaan Arthur Conan Doyle - Sherlock Holmes.

Mouri Ran:
 
Mouri Ran merupakan sahabat baik Shinichi sejak sekolah rendah lagi. Mereka saling menyukai tetapi tidak berani berhadapan untuk meluahkan perasaan masing-masing. Ran merupakan seorang pakar dalam seni mempertahankan diri dan merupakan kapten pasukan karate di sekolahnya. Malah, beliau pernah menjuarai pertandingan karate peringkat Tokyo. Walaupun Ran seorang yang hebat dalam bidang karate, namun dia mempunyai satu kelemahan, iaitu dia mudah takut akan cerita hantu. Dia pernah berkali-kali mengesyaki Conan itu sebenarnya Shinichi tetapi selalunya tidak dibuktikan dan akhirnya akan mengaku Conan itu bukannya Shinichi.

Mouri Kogorou:
 
Mouri Kogoro merupakan bapa kepada Ran. Beliau bekerja dalam bidang penyiasatan dan menjalankan penyiasatan secara persendirian. Namun, dia sebenarnya tidak mempunyai kemahiran di dalam bidang penyiasatan. Walaupun kurang kemahiran dalam penyiasatan, dia amat berkemahiran dalam menembak dan merupakan seorang pakar dalam seni mempertahankan diri Judo. Selain itu, dia juga pernah mengahwini Kisaki Eri, yang merupakan seorang peguam berjaya. Namun, perkahwinannya dengan Kisaki Eri tidak bertahan lama dan mereka bercerai. Walaupun Mouri Kogorou dilihat agak kurang bertanggungjawab, namun dia amat menjaga anak perempuannya. Selain itu, Kogorou merupakan seorang watak yang kuat minum dan peminat setia penyanyi Okino Yoko.

 Profesor Hiroshi Agasa:
 
Prof. Agasa dilihat sebagai seorang profesor yang agak cuai. Namun begitu, beliau banyak mencipta alatan yang membantu Shinichi. Walaupun ciptaannya gagal, dia tetap berusaha sehingga ciptaanya berjaya. Selain itu, Prof.Agasa juga merupakan jiran Shinichi sejak Shinichi kecil. Di samping itu, jika ada masa terluang, beliau sering membawa Pasukan Detektif Muda keluar bermain, berkhemah, dan bertindak sebagai penjaga mereka dalam setiap ekspedisi yang dijalankan oleh mereka.

 Kojima Genta:
 
Merupakan rakan kepada Ayumi dan sering kali mendakwa dirinya sebagai ketua Pasukan Detektif Muda atau Detective Boys, atau nen Tantei . Kojima Genta merupakan seorang watak yang berbadan besar. Selain itu, Genta juga digambarkan seorang hanya pentingkan diri, sering mendakwa dirinya betul kuat makan. Namun, Genta juga seorang yang turut mementingkan persahabatan. Genta merupakan ketua kelas 1B.

Tsuburaya Mitsuhiko:
 
Mitsuhiko merupakan sahabat baik kepada Genta dan Ayumi. Mereka merupakan rakan sekelas dan Mitsuhiko merupakan seorang yang pintar dan pandai menggunakan komputer. Selain itu, Mitsuhiko juga minati Ayumi dan Ai Haibara.

Yoshida Ayumi:
 
Ayumi merupakan seorang gadis kecil yang menjadi kawan baik kepada Conan, Genta, dan Mitsuhiko. Selain itu, Ayumi merupakan satu-satunya ahli perempuan dalam kumpulan mereka iaitu Kumpulan Penyiasat Muda sebelum kemunculan Ai Haibara. Di samping itu, Ayumi jatuh hati kepada Conan dan keadaan ini telah membuatkan Conan tidak selesa kerana dia menyukai Ran. Ayumi juga mudah menangis setiap kali apabila dia merasa cemas.

 Kumpulan Berbaju Hitam:
 
Kumpulan Baju Hitam ini dianggotai oleh Gin, Vodhka, dan beberapa individu lagi yang bertanggungjawab ke atas organisasi ini. Gin merupakan seorang ahli yang mempunyai pangkat dan kedudukan di dalam organisasi. Selain itu, Gin merupakan seorang yang pintar dan tangkas membuatkan dia sukar ditangkap. Malah, dia juga seorang pembunuh yang kejam dan tidak pernah mengingati muka orang yang dia telah dibunuh. Manakala, Vodka pula merupakan orang bawahan Gin dan sering yang memangilnya "Abang" atau "boss". Mereka berdualah yang bertanggungjawab membuatkan badan Shinichi Kudo mengecil. Namun, mereka sendiri masih belum mengetahui perkara tersebut.


5.1) Pakaian:

Di dalam episod ini kita dapat melihat setiap watak memakai pakaian yang jenis yang hampir sama.Bagi watak lelaki mengenakan kot, kemeja, bertali leher, seluar pendek dan kasut. Cara berpakaian ini dapat dilihat melalui watak Sinichi Kudo atau Conan Edogawa, Mouri Kogorou dan watak lelaki lain.
 

Bagi watak perempuan pula, watak-watak ini dilihat mengenakan blaus, t-shirt, skrit, seluar pendek, baju sejuk, dan berkasut. Cara berpakaian ini dapat dilihat daripada watak Mouri Ran dan Yashida Ayumi.
 

Walaupun cerita Detective Conan merupakan sebuah cerita animasi Jepun tetapi didapati di dalam episod ini memperlihatkan bahawa terdapatnya pengaruh Barat di dalam cara berpakaian watak-watak di dalam episode ini. Justeru itu, masyarakat Melayu yang melihat cerita ini, akan melihat cara berpakain sedemikian dan kemungkinan timbul perasaan ingin mencuba berpakaian sedemikian seperti mengenakan pakaian seperti seluar jeans, seluar pendek, kot, t-shirt dan sebagainya.

5.2) Peralatan:

Di dalam episod ini, di dapati kebanyakan peralatan yang digunakan oleh watak-watak merupakan peralatan seharian, peralatan penyiasatan, dan peralatan jenayah. Penggunaan peralatan ini bersesuaian dengan jalan penceritaan dan kehidupan watak-watak. Antaranya peralatan yang digunakan ialah pistol, tali, pisau, pil racun, peralatan sains, gari dan sebagainya. Bagi peralatan sains, kita dapat lihat melalui watak Prof. Agasha yang banyak menggunakan peralatan sains seperti tabung uji, buret, picagari dalam mencipta peralatan baru. Contoh peralatan yang telah dicipta ialah sayap untuk terbang bagi mengatasi kesesakan lalu lintas dan membantu Shinichi menyelesaikan sesuatu kes.
 



 Melalui episod ini, kemungkinan akan memberi kesan kepada penonton Melayu untuk cuba melakukan inovasi dan penciptaan. Seperti mana di dalam episod ini, penciptaan sesuatu alat amat penting bagi memudahkan segala aspek kehidupan dilakukan dengan baik, teratur dan tersusun. Penciptaan sains dan teknologi mampu mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan taraf sesuatu masyarakat serta meningkatkan tahap mobaliti sosial dan memperkembangkan interaksi diantara sesuatu kelompok masyarakat.

5.3) Latar Tempat dan Masa:

Cerita Detective Conan ini merupakan sebuah cerita daripada negara Jepun. Oleh yang demikian, di dalam episod ini, latar tempat yang ditunjukkan adalah berlatar belakang negara Jepun. Seni bina di tempat-tempat ini jelas memaparkan adanya kebudayaan Jepun di dalam cerita ini. Antara tempat-tempat yang telah ditunjukkan ialah di Taman Permainan Taman Tropika, Rumah Ran, Makmal Prof Agasa, restoran, dan kedai runcit. Manakala latar masa pula memaparkan peredaran masa 24 jam dalam sehari. Hal ini kerana, di dalam episod ini ada mengambarkan masa siang dan malam.


5.4) Bahasa :

Disebabkan cerita Detective Conan ini telah dihasilkan oleh seorang pengarah daripada negara Jepun iaitu, Gosho Aoyama. Maka, cerita ini telah menggunakan bahasa Jepun sepanjang jalan penceritaan. Pada permulaan cerita ini, cerita ini hanya ditayangkan di Jepun. Namun, selepas berlakunya pertembungan budaya dan jalinan hubungan globalisasi terjalin, cerita Detective Conan ini telah memasuki pasaran masyarakat Melayu. Di daripada sini, sesetengah masyarakat Melayu yang meminati cerita ini akan cuba memahami dan terpengaruh dengan bahasa Jepun. Keadaan ini akan meningkatkan tahap pemikiran dan pengetahuan mereka tentang bahasa Jepun. Cerita Detective Conan ini juga telah diolah bahasa kepada bahasa Melayu bagi memudahkan masyarakat Melayu memahami cerita tersebut, terutamanya golongan kanak-kanak.

6.0) Kesan Budaya Global Daripada Episod Ini:

6.1) Kesan Positif:

6.1.1 Kuat Berusaha:
Budaya kuat berusaha merupakan satu budaya dan perbuatan yang mulia. Budaya kuat berusaha ini amat digalakkan dalam setiap bangsa,masyarakat dan etnik. Di dalam episod ini, budaya kuat berusaha dapat dilihat daripada watak Prof Agasa yang gigih berusaha dan rajin menjalankan pelbagai kajian. Sekiranya gagal, dia akan cuba lagi sampai berjaya. Prof Agasa tidak mengendahkan ejekan, sindiran dalam menghasilkan ciptaannya. Hal ini kerana baginya, sekiranya dia berjaya menghasilkan sesuatu ciptaan yang baru, ini akan memberikan kepuasan kepadanya. Justeru itu, Prof Agasa mempunyai semangat yang tinggi dan kuat berusaha dalam setiap pekerjaannya.

Melalui perwatakan Prof Agasa yang tidak mengenal penat lelah, tidak mudah menyerah dan kuat berusaha , telah memberi kesan kepada penonton, yang mungkin terdiri daripada masyarakat Melayu supaya kuat berusaha dalam setiap pekerjaan dan tidak berpeluk tubuh sahaja. Budaya kuat berusaha ini amat penting kerana sesuatu bangsa yang berjaya, merupakan bangsa yang kuat berusaha dan tidak mudah menyerah sebelum berjuang. Keadaan ini telah berjaya mendidik dan menyemai sikap kuat berusaha dalam kebudayaan masyarakat Melayu bagi meningkatkan kebudayaan Masyarakat Melayu.

6.1.2 Menghormati Orang Tua:
 Di dalam setiap kebudayaan, peradaban sesuatu masyarakat, sikap dan budaya menghormati orang yang lebih tua sering kali ditekankan dalam setiap diri individu yang berada di dalam kelompok itu. Keadaan ini jelas mengambarkan bahawa sikap menghormati orang tua penting dalam aspek kehidupan bermasyarakat. Di dalam episod ini, kita dapat lihat budaya menghormati orang tua melalui watak Yashida Ayumi, Kojima Genta, Tsuburaya Mitsuhiko sangat menghormati prof Agasa. Semasa bercakap dengan Prof. Agasa mereka menggunakan bahasa yang lembah lembut, nada suara tidak nyaring dan mereka sopan santun dan tunduk hormat setiap kali berjumpa dengan prof.Agasa. Keadaan ini jelas memperlihatkan adanya budaya menghormati orang tua di dalam episod ini.

Melalui perlakuan budaya menghormati orang tua yang dipaparkan melalui babak ini, Babak ini mampu menyemai budaya menghormati orang tua dalam masyarakat Melayu. Hal ini kerana, di dalam masyarakat Melayu budaya menghormati orang tua juga amat ditekankan. Malah melalui jalinan kemesraan di antara orang muda dan orang tua, disebabkan budaya menghormati orang tua ini. Wujud pepatah Melayu, iaitu “yang tua dihormati dan yang muda disayangi”. Pepatah tersebut jelas mengambarkan bahawa di dalam kebudayaan Melayu sikap menghormati orang tua amat ditekankan dan dititikberatkan dalam kehidupan seharian mereka.

6.1.3.Bercita-Cita Tinggi:
Bagi menjadikan diri kita sebagai seorang yang berjaya di dalam kehidupan dan setiap urusan yang dijalankan. Kita mestilah memiliki sikap, tingkah laku yang mencerminkan budaya bercita-cita tinggi. Budaya bercita-cita ini juga kita dapat lihat daripada episod ini melalui watak Shinichi. Shinichi merupakan seorang watak sangat bercita-cita dan berazam untuk menjadi seorang penyiasat yang berjaya. Bagi merealisasikan impian dan cita-citanya untuk menjadi seorang penyiasat yang berjaya. Beliau telah melakukan pelbagai usaha dan gigih. Dia tidak merasakan jemu terhadap sesuatu kes, bahkan dia berasa lebih teruja untuk menyelesaikan sesuatu kes. Keadaan ini jelas memperlihatkan bahawa Shinichi merupakan seorang watak yang kuat berusaha.

Perbuatan dan tingkah laku yang telah ditimbulkan oleh watak Shinichi ini telah memberi kesan dan pendidikan kepada penonton, terutama masyarakat Melayu. Kami mengatakan mampu memberi kesan kepada masyarakat Melayu kerana kami hanya membincangkan pengaruh episod ini terhadap masyarakat Melayu. Daripada babak ini, telah mendidik masyarakat Melayu supaya mesti mempunyai cita-cita yang tinggi dalam kehidupan, agar tahap tamadun masyarakat Melayu dapat berkembang. Cita-cita ini mesti disertai dengan usaha,supaya tidak menjadi angan-angan Mat Jenin. Seseorang yang mempunyai cita-cita yang tinggi akan mampu mengubah sesuatu perkara itu menjadi sesuatu yang baru dan tidak berada di tahap yang sama. Ini memperlihatkan pentingnya budaya kuat berusaha dalam masyarakat.

6.1.4 Berdikari:
Budaya berdikari amat digalakkan kerana budaya berdikari ini mampu mematangkan seseorang individu dan mereka tidak mudah bergantung dan mengharapkan pertolongan daripada orang lain. Budaya berdikari ini akan menjadikan mereka lebih tabah, yakin, dan bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang telah dibuat oleh mereka. Melalui episod ini, kita dapat lihat adanya budaya berdikari melalui watak Yashida Ayumi, Kojima Ghenta, Tsuburaya Mitsuhiko. Keberdikarian mereka terlihat semasa peristiwa mereka pergi sendiri ke Taman Tropika tanpa ditemani oleh keluarga. Kanak-kanak seusia mereka dan masih bersekolah rendah, namun tidak takut pergi ke tempat yang ramai orang secara bersendirian. Keadaan ini jelas memperlihatkan mereka tidak memerlukan bantuan daripada orang lain, mereka boleh buat sendiri kerana mereka menanamkan budaya berdikari di dalam diri mereka.

Peristiwa dan tingkah laku yang dipaparkan oleh watak ini mampu mendidik masyarakat Melayu supaya berdikari dalam setiap urusan tanpa mengharapkan bantuan. Budaya berdikari ini mampu membaiki tahap dan corak pemikiran masyarakat Melayu supaya tidak terikat dengan sesuatu sehingga mampu membataskan pemikiran mereka. Malah sesorang yang berdikari mampu menyesuaikan dirnya dalam setiap aspek dan keadaan. Hal ini kerana, mereka sanggup berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain.

6.2) Kesan Negatif:

6.2.1 Dendam:
Hitomi yang merupakan bekas kekasih Kishida telah merancang pembunuhan Kishida semasa berada di atas roller coaster akibat daripada perasaan dendamnya, lantaran dipermainkan oleh Kishida. Dendam merupakan sesuatu yang buruk, dan sekiranya masyarakat Melayu terpengaruh akan mengakibatkan berlakunya perbalahan dan permusuhan dalam masyarkat Melayu. Mampu membantutkan perkembangan kebudayaan Melayu yang mementingkan kesopanan dan ketatasusilaan.

6.2.2 Pergaulan Bebas:
Aiko tanpa segan silu berpelukan dan saling berbalas ciuman dengan Kishida, walaupun berada di tempat orang ramai. Malah Aiko juga memakai pakaian seksi sehingga menampakan bentuk tubuhnya. Sekiranya budaya ini diserap dalam kebudayaan masyakat Melayu, ini akan menyebabkan berlakunya satu perubahan yang buruk. Sehingga maksiat di depan mata tidak mampu halang dan membolehkan generasi muda terus hanyut dalam budaya negatif pergaulan bebas ini.

7.0) Kesimpulan:

Adegan, watak, pakaian, dan sebagainya memberi pengaruh kepada penonton, terutamanya masyarakat Melayu. Namun, kita tidak boleh melihat kepada cerita yang dikaji ini semata-mata yang menjadi punca berlakunya sesuatu pengaruh kerana masih terdapat banyak lagi faktor lain yang menjadi punca pengaruh sesuatu budaya itu tersebar dan memasuki budaya Melayu. Animasi juga mampu mempengaruhi sesuatu kebudayaan masyarakat sehingga sesuatu cerita itu menjadi ikutan. Sesuatu masyarakat tidak semestinya mengambil sepenuhnya kebudayaan masyarakat lain disebabkan faktor keagamaan, kekangan politik, kekurangan peralatan sains dan teknologi, dan lain-lain. Ini kerana, perubahan sesuatu aspek atau bidang akan mempengaruhi bidang yang lai juga menyebabkan sesuatu budaya lain atau kemodenan itu sukar diterima sebagai salah satu budaya sekiranya aspek lain tidak berubah, di samping pemikiran masyarakat yang berbeza mengikut sesuatu budaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan