Rakan...

Khamis, 17 November 2011

Kemelayuan, Kebangsaan, dan Kemalaysiaan.

Kemelayuan, Kebangsaan, dan Kemalaysiaan.
Oleh:
Mohd Hafizie bin Samat (JEA 090049)
Pengenalan
              Konsep kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan  saling berkaitan antara satu sama lain. Takrif Melayu merupakan suatu bangsa atau ras dalam sesebuah negara, khususnya merujuk kepada masyarakat Melayu di Malaysia. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-3 (2002:874), Melayu didefinisikan sebagai nama suatu bangsa dan bahasa terutamanya di Semenanjung Malaysia. Selain itu, penggunaan perkataan Melayu akan membawa sesuatu maksud tersendiri, contohnya masuk Melayu akan merujuk kepada mengikut cara hidup orang Melayu dan  boleh dikatakan juga masuk Islam. Sementara itu, kemelayuan pula didefinisikan sebagai ciri atau sifat yang  memperlihatkan keperibadian orang Melayu.
              Merujuk lagi kepada Kamus Dewan Edisi Ke-3 ( 2002:102 ), bangsa  dapat didefinisikan sebagai  jenis manusia daripada satu asal keturunan terutamanya merujuk kepada bangsa Melayu. Di samping itu, bangsa turut membawa maksud sesuatu kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan. Kebangsaan pula dikatakan berkaitan dengan negara secara keseluruhan, nasional serta semangat yang dipilih untuk melambangkan keperibadian sesebuah negara seperti bahasa, pakaian, dan lain-lain. Lagu kebangsaan juga diciptakan khas untuk dinyanyikan bagi menyatakan taat setia kepada negara.
              Mengikut pengetahuan kita, Malaysia adalah sebuah negara yang terletak di Asia Tenggara. Rakyatnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan agama rasminya ialah agama Islam. Mengikut Kamus Dewan Edisi Ke-3 (2002:851), kemalaysiaan berhubung dengan atau bersifat Malaysia sebagai negara seluruhnya.
              Konsep kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan merupakan suatu ciri yang terdapat di negara Malaysia. Dalam  mengenali dan mencari perihal diri kita yang sebenar sebagai orang Melayu, kesedaran dalam memupuk ketiga-tiga ciri tersebut dalam diri setiap individu amat diperlukan demi kepentingan negara. Ini kerana kita  berada dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, agama, dan budaya, keperluan persefahaman serta sikap tolak ansur, dan  saling hormat-menghormati antara satu sama lain, khususnya sebagai satu bangsa.
               Melalui kesedaran tersebut, halangan kepada keharmonian yang dinikmati selama ini seperti tercetusnya permusuhan, perkelahian, dan peperangan dapat dielakkan. Halangan ini timbul dari perasaan tidak puas hati, gelisah, dan kebencian yang harus segera dipadamkan kerana boleh memercikkan gelombang kemarahan yang menyeluruh untuk dikongsi oleh sesuatu kaum yang merasakan ketidakadilan itu. Peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei, 1969 menjadi satu pengajaran berguna dalam hal ini. Lantaran itu, realiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama, dan budaya perlu difahami oleh generasi muda yang akan meneruskan kesinambungan dalam mentadbir negara ini khususnya dalam membentuk masyarakat bagi mencapai kesefahaman yang baik. Hasil dari kefahaman ini akan mewujudkan perpaduan dan mengukuhkan lagi hubungan antara kaum di Malaysia.
               Justeru, sebagai orang Melayu yang berada di bumi Malaysia, kita haruslah menerima hakikat  bahawa kita sedang berkongsi negara dengan kaum lain seperti Cina, India serta etnik  yang  lain. Oleh itu, di sinilah pentingnya keupayaan kita sebagai orang Melayu untuk mengolah faktor yang boleh menyebabkan tercetusnya konflik kepada faktor pembina kepada kekuatan bangsa. Lantaran itu, usaha yang bersungguh-sungguh amat penting dalam memahami realiti budaya pelbagai kaum di Malaysia untuk menjana atau membina negara yang lebih selamat dan kuat. Di samping itu, perancangan yang rapi dan teliti perlu difikirkan serta diusahakan bersama sebagai satu bangsa terutamanya dalam proses pembentukan kebudayaan dalam melahirkan cara hidup yang bersifat kemalaysiaan.
   Dalam konteks masyarakat pelbagai kaum di Malaysia kini, maka suatu visi dan prinsip pembentuk bangsa dan kebudayaan yang nyata dan tegas harus dilakukan di atas landasan keadilan dan kesaksamaan bagi semua kelompok  bangsa. Contohnya dalam visi Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang tubuh negeri yang  membuat  visi kebudayaan dan sistem sosial dengan tegas meletakkan Melayu sebagai perkara utama, serba merangkumi, dan menyeluruh. Peruntukan penting tentang Melayu ialah  agama, raja, bahasa, dan hak istimewa  yang  memberikan mereka suatu keutamaan untuk menentukan visi kebudayaan tidak kira  proses yang dicadangkan. Walaupun Malaysia mempunyai pelbagai kaum, namun jati diri kita sebagai bangsa  Melayu perlu disemai terutamanya dalam kehidupan kerana setiap kaum mempunyai cara hidup tersendiri agar ciri-ciri kemelayuan itu tidak pupus oleh arus kemodenan.[1]
              Dalam ciri kemelayuan, bahasa Melayu berpotensi dalam memupuk  semangat kebangsaan kerana menjadi bahasa komunikasi antara pelbagai kaum disebabkan sifatnya yang dinamik untuk diterima oleh semua lapisan masyarakat. Di samping itu, majoriti penduduk di Malaysia menggunakan bahasa tersebut kerana rakyat mengetahui tentang kepentingannya yang menjadi kekuatan perpaduan negara berbilang kaum di Malaysia. Malah, rakyat turut berbangga dengan kepelbagaian yang terpancar dalam kehidupan pelbagai kaum sejak kemerdekaan negara. Justeru, kepelbagaian inilah menjadi aset untuk mengukuhkan ciri-ciri kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan.
              Namun, melihat kepada diri kita sebagai rakyat Malaysia, kita diingatkan supaya tidak mudah lupa diri dan  berusaha  mengekalkan ciri-ciri kehidupan sebagai seorang yang berbangsa Melayu di bumi Malaysia. Justeru itu, Y.A.B. Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menyatakan:
“Kita berdiri, kita berfikir, bertindak sebagai bangsa Malaysia”.
              Pernyataan ini merupakan inti pati pembinaan kesatuan yang utuh sebagai rakyat Malaysia yang  berteraskan ikatan teguh perpaduan kaum. Rakyat negara ini diseru supaya berfikir sebagai bangsa Malaysia. Yang dimaksudkan dengan bangsa Malaysia ialah seluruh etnik di Malaysia melihat diri mereka sebagai satu rumpun rakyat Malaysia besar yang menjadi teras pembinaan negara tanpa prasangka etnik yang sempit dan status sosial etnik. Ini tidak bermakna orang Melayu itu perlu melupakan terus budaya mereka kerana setiap budaya ada kelebihan yang tersendiri. Oleh itu, pihak tertentu khususnya kerajaan, di samping rakyat sendiri perlu berusaha untuk mencari langkah terbaik untuk  melakukan sesuatu yang dapat melahirkan rakyat yang bercirikan kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan.           
Penggunaan bahasa
              Antara masalah yang dihadapi oleh negara berbilang bangsa dan bahasa di Malaysia  ialah masalah dalam menentukan bahasa yang patut digunakan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kerajaan atau negara. Melihat dari segi bahasa, bahasa Melayu sememangnya merupakan elemen  penting dalam usaha menerapkan ciri-ciri kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan. Bahasa Melayu yang diberi  taraf sebagai bahasa kebangsaan seperti yang terkandung dalam Perkara 152 dalam Akta Bahasa Kebangsaan tidak seharusnya dipinggirkan. Hal ini kerana bahasa yang digunakan berfungsi sebagai alat untuk berkomunikasi dalam masyarakat di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Penentuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan sahaja merupakan ideologi yang berkaitan dengan soal nasionalisme, perpaduan bangsa, dan jati diri negara tetapi juga berkaitan dengan pragmatisme iaitu fungsi bahasa itu sebagai alat pembangunan negara.
              Melalui bahasa, suatu komunikasi dapat dijalankan dengan sempurna yang melibatkan pelbagai bangsa dan seterusnya dapat menonjolkan identiti kita sebagai satu masyarakat  Malaysia. Pelbagai bangsa di Malaysia perlu menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi terutamanya  yang melibatkan orang Melayu. Apabila bahasa Melayu kerap digunakan, ini akan menonjolkan ciri-ciri kemelayuan seseorang itu dan apabila digunakan oleh bangsa lain, ini pula menunjukkan bahawa bahasa mempunyai kaitan dengan bangsa dalam sesebuah negara. Di samping itu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat digunakan sebagai alat memupuk perpaduan kaum bagi melambangkan identiti kemalaysiaan. Justeru itu, bahasa dapat dikaitkan dengan ciri kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan kerana melibatkan semua masyarakat dan penting dalam  melahirkan masyarakat yang bersatu padu sebagai suatu bangsa Malaysia.
Perkongsian kebudayaan
              Selain itu, kebudayaan dalam sesuatu masyarakat  perlu diberi penekanan  yang sewajarnya dalam melahirkan bangsa Malaysia yang bercirikan kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan  kerana budaya merupakan salah satu ciri yang terdapat dalam sesuatu bangsa. Walaupun ciri kemelayuan mungkin tidak sesuai untuk bangsa lain, namun, budaya dalam sesuatu masyarakat, misalnya dilihat perkongsian budaya seperti cara hidup, makanan, dan sebagainya, begitu juga budaya popular seperti muzik, nyanyian, filem, dan lain-lain yang  turut dikongsi bersama. Misalnya, cara hidup seperti cara orang Melayu yang makan menggunakan tangan, diikuti dan diamalkan oleh bangsa lain. Di Malaysia, kepelbagaian kaum sudah lama menjadi simbol kekuatan negara. Integrasi antara kaum jika diperhatikan turut terbias pada seni halus yang diperturunkan dari zaman ke zaman. Asimilasi seni melalui penyatuan pelbagai elemen dalam rentak tari Melayu, India, dan Cina misalnya, membentuk keunikan tersendiri yang hingga hari ini terus menjadi tarikan setiap kali dipersembahkan di mana saja terutama di luar negara.
              Dalam mencari-cari erti seni dan bagaimana ia mampu menjadi elemen penyatuan kepelbagaian etnik di Malaysia. Festival Tari Malaysia 2009 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur kelak, mampu menjadi naskhah terbaik dalam menilai kecintaan rakyat terhadap seni, penyatuan dan kepelbagaian resam.[2] Perbezaan dan perbandingan dari segi identiti sesuatu bangsa inilah yang dapat melahirkan suatu variasi dalam sesuatu masyarakat di Malaysia yang dapat memupuk semangat perpaduan. Oleh itu, nilai-nilai dalam sesuatu kebudayaan perlu diterapkan dalam diri setiap individu walaupun terdapat pebezaan dari segi agama kerana ciri-ciri atau nilai-nilai yang murni tidak menjadi masalah untuk dikongsi dan diamalkan bersama.
Kesenian atau perayaan
              Usaha lain untuk menerapkan ciri-ciri kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan dalam diri masyarakat ialah melalui kesenian. Perkara ini turut disedari oleh Perdana Menteri kita, Dato’  Seri Mohd. Najib Tun Razak dengan menggariskan kesenian yang lahir daripada kepelbagaian budaya masyarakat majmuk sebagai penggerak Gagasan Satu Malaysia (Dewan Budaya,2009:3). Kesenian perlulah melibatkan pelbagai kaum di Malaysia bagi menonjolkan ciri-ciri dalam kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan. Kesenian  wajar dikongsi bersama tanpa mengira warna kulit dan agama bagi membentuk sebuah negara yang kukuh dan stabil tanpa perpecahan dan pergeseran antara kaum di Malaysia. Variasi kesenian yang ada tanpa kita sedari telah mewujudkan suasana harmoni yang dapat kita nikmati. Contohnya dalam sesuatu pertandingan seperti koir yang boleh melibatkan peserta dari pelbagai kaum. Hasil gabungan vokal semua, dapatlah menghasilkan sesuatu yang harmoni dan bervariasi dalam paduan suara. Melalui aktiviti kesenian seumpama ini, masyarakat Melayu dapat menonjolkan identiti mereka terutamanya dalam kesenian Melayu dan begitu juga kesenian dalam kaum lain. Begitu juga perayaan-perayaan dari bangsa lain yang turut dihadiri oleh masyarakat Melayu. Contohnya dalam Festival Kuih Bulan pada Oktober, 2009 yang dibuat di Kuala Lumpur turut dihadiri oleh semua kaum di Malaysia dan dalam ucapan perasmian, Perdana Menteri telah mengiktiraf Festival Kuih Bulan atau Tanglung yang biasanya disambut oleh masyarakat Cina sebagai milik bersama (Dewan Budaya,2009:50-53). Apabila kesenian dan  sesetengah perayaan ini dikongsi bersama sebagai satu bangsa, ciri-ciri kebangsaan dapat diterapkan, begitu juga ciri kemalaysiaan yang sememangnya diamalkan di Malaysia. Oleh itu, kesenian atau perayaan tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja disebabkan turut mempunyai kepentingan dalam menerapkan ketiga-tiga ciri ini.
Sistem pendidikan
              Di samping itu, pendidikan juga dapat melahirkan masyarakat yang bercirikan kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan. Melalui pendidikan, khususnya dalam sistem pendidikan di sekolah, ciri-ciri ini dapatlah diterapkan dalam diri setiap pelajar melalui pelbagai aktiviti di sekolah yang melibatkan pelbagai bangsa. Bahasa kebangsaan perlulah diteruskan penggunaannya sebagai bahasa pengantar dalam sistem persekolahan. Saranan Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim supaya memansuhkan sekolah vernakular perlu diberi perhatian serius. Namun, masih terdapat halangan dalam usaha ini kerana terdapat kekhuatiran hilang identiti kaum sekiranya sekolah vernakular ini dimansuhkan.
              Selain itu, usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, iaitu dalam melahirkan sekolah wawasan perlu diteruskan lagi dan dikaji dengan lebih spesifik supaya berkesan dalam mencapai matlamat penubuhannya. Melalui pendidikan khususnya di sekolah, sikap toleransi dan semangat kebangsaan dapat disemai dalam jiwa setiap individu. Setiap pelajar dapat menunjukkan nilai-nilai yang terdapat dalam sesuatu bangsa mereka melalui pembelajaran tentang masyarakat di Malaysia dan sekaligus dapat menerapkan ciri-ciri ini dalam diri. Oleh itu, sistem pendidikan amat penting dan harus diperkemaskan lagi supaya setiap pelajar atau individu dapat menghayati dan menjadi seorang yang mempunyai identiti masing-masing sama ada bercirikan kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan kerana terdapat kaitan antara ketiga-tiga konsep tersebut.
Kesimpulan
              Kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan merupakan ciri-ciri yang sememangnya terdapat dalam negara Malaysia. Namun, ciri-ciri ini bukan semua dapat diserap ke dalam diri setiap warganegara kerana masih terdapat halangan terutamanya yang melibatkan kesedaran juga sikap setiap individu itu tanpa disedari, lebih-lebih lagi disebabkan pengaruh dunia luar yang semakin banyak berikutan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi.
              Namun, usaha-usaha untuk menerapkan ketiga-tiga ciri ini dapat dijalankan seperti dalam penggunaan bahasa, perkongsian kebudayaan, kesenian, pendidikan, dan sebagainya.Usaha-usaha ini perlu dijalankan bermula dari sekarang kerana bimbang bahawa ciri-ciri kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan yang menjadi identiti dalam negara ini akan hilang ditelan arus kemodenan dan masyarakat di Malaysia akan hilang identiti masing-masing. Justeru, pelbagai pihak terutamanya kerajaan perlu bertanggungjawab dalam hal meningkatkan ciri-ciri yang terdapat dalam masyarakat di Malaysia seperti dalam Kementerian atau dibahaskan dalam Dewan Kabinet dan sebagainya, di samping peranan setiap individu agar sedar tentang kepentingan ciri kemelayuan, kebangsaan, dan kemalaysiaan dalam diri.


    maruah-bangsa dipetik pada 11 Januari, 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan