Assalamualaikum…
Melihat kepada tajuk di atas, bukanlah ingin berbicara mengenai lagu ‘Suci Sekeping Hati’, nyanyian Saujana tetapi perihal dalam memiliki hati yang baik. Sebelum berbicara lebih lanjut, aku ingin menceritakan, kenapa penulisan ini dibuat?
Melihat kepada pemerhatian aku, sepanjang hidup ini, ramai manusia yang memiliki hati tetapi jarang yang ada perasaan dan tahu untuk menjaga hati. Ini bukan hanya terjadi kepada golongan biasa tetapi terdapat juga dalam kalangan para ustaz ustazah, para pendakwah, guru-guru agama, dan sebagainya. Jangan salah faham, sebenarnya bukan ingin mengkritik tidak tentu pasal tetapi kita sendiri pun dapat melihatnya.
Buktinya, banyak kes yang tidak elok berlaku bukan hanya melibatkan golongan biasa tetapi melibatkan golongan agama. Ini kerana keimanan tersebut bukan hanya dilihat sekiranya seseorang itu mempunyai ilmu agama yang tinggi, bukan pada pakaian, bukan jua pada gelaran, dan sebagainya tetapi pada ‘HATI’ yang betul-betul sedar dan sentiasa beristiqamah dalam menjaga hati bukan hati sendiri sahaja, namun turut sama menjaga hati orang lain agar jalan menuju ke Syurga kelak lebih mudah tanpa halangan.
Ilmu sememangnya penting tetapi cukupkah hanya dengan ilmu tetapi dalam hati itu memiliki sifat yang tidak elok? Layakkah Syurga jika ilmu yang dimiliki tetapi tidak mampu untuk membuatkan manusia di sekelilingnya merasa selesa dengan sifatnya? Renung-renungkanlah…
Kajian Hati:
Ini melalui pengalaman yang pernah dialami melihat kepada orang yang berada di sekeliling aku. Seseorang itu memiliki ilmu yang jauh lebih baik dari diriku. Sentiasa mengaji al-qur’an, qiamullail, tahlil, solat sunat, puasa sunat, dan semuanya yang dapat membawa aku ke arah kebaikan. Aku bangga dengan sikapnya yang memperlihatkan tanda-tanda untuk menjadi seorang yang soleh. Aku turut sama tertarik untuk berusaha menjadi lebih baik lagi dari sebelum ini. Alhamdulillah.
Namun, aku hairan dan mungkin juga pelik. Kenapa sikapnya yang ke arah kebaikan itu tidak ramai yang disukai oleh orang lain? Mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Hendak komen mengenai ilmu agama rasanya masih belum cukup kerana peribadinya seperti aku ceritakan tadi, mempunyai ilmu yang jauh lebih baik dari aku.
Adakah sudah menjadi lumrah bahawa kebaikan itu sememangnya susah untuk disukai oleh orang-orang yang tidak mengerti? Persoalan itu muncul di benak fikiranku. Rupa-rupanya, memang ada “Something Wrong”.
Apa itu?
Tidak lain tidak bukan,
itulah ‘HATI’.
Memang seseorang itu baik, penuh ilmu di dada, dan sentiasa menuju ke arah kebaikan, namun SAYANGNYA, dirinya tidak memiliki hati yang baik walaupun dirinya baik. Cuba fahami betul-betul ayat ini.
Sambungan cerita tadi ialah melihat kepada ramai yang tidak menyukainya. Ini bukan kerana agama, bukan kerana ilmu, tetapi kerana sifat yang tidak elok bersarang dalam dirinya. Kerana sikapnya itulah yang membuatkan orang di sekelilingnya sentiasa terguris hati. Banyak kali cuba bersabar namun kesabaran itu ada batasnya. Perkara ini bukan dirinya tidak mengetahui tetapi mungkin perasaan bersalah itu sukar wujud dalam dirinya ataupun mungkin sudah terbiasa dengan sikap tersebut.Wallahu'alam...
Dalam berteman, berkomunikasi, dan sebagainya melibatkan orang ramai sememangnya ada caranya tersendiri. Gurauan sekalipun tiada salah jika tidak ke arah keburukan. Tidak perlulah diceritakan di sini. Namun cukuplah dengan melihat;
Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat Mahmudah / terpuji di dalam kitab Arbain Fi Usuluddin iaitu :
1) Taubat .
2) Khauf ( Takut )
3) Zuhud.
4) Sabar.
5) Syukur.
6) Ikhlas.
7) Tawakkal.
8) Mahabbah ( Kasih Sayang )
9) Redha.
10) Zikrul Maut ( Mengingati Mati )
Dan Imam Al-Ghazali juga telah menggariskan sepuluh sifat Mazmumah / tercela / sifat keji di dalam kitab tersebut iaitu :
1) Banyak Makan
2) Banyak bercakap.
3) Marah.
4) Hasad.
5) Bakhil.
6) Cintakan kemegahan.
7) Cintakan dunia .
8) Bangga Diri.
9) Ujub ( Hairan Diri ).
10) Riya' ( Menunjuk-nunjuk ).
Begitulah perihal hati. Bukan mudah untuk menjaga hati walaupun mempunyai ilmu agama yang tinggi. Walaupun sudah tahu dan belajar dan cuba amalkan, namun tetap amat sukar. Cukuplah sampai di sini. Sebagai seorang yang ingin menjaga hati, aku tidaklah mendoakan keburukan buatnya. Aku sentiasa mendoakan orang yang mempunyai perihal tersebut berubah dan sedar akan sikapnya itu. Jangan kerana perkara tersebut nanti menyukarkan diri untuk menuju jalan ke SYURGA yang kekal abadi. Sekian, wallahu’alam bissawab…
Dengarkan: Saujana-Suci Sekeping Hati
Tiada ulasan:
Catat Ulasan