Rakan...

Khamis, 27 Oktober 2011

Puisi: Renungan Malam

Assalamualaikum....
Puisi kali ini dicipta setelah mendapat ilham sewaktu berada di rumah pada musim cuti. Pada malam itu, bekalan elektrik terputus, disertakan pula dengan hujan yang lebat. Walaupun rumahku banglo, namun bila ketiadaan sumber tenaga elektrik, masih lagi menggunakan lilin atau dian untuk menerangi gelap malam. Justeru, sewaktu menantikan bekalan elektrik elok kembali, aku cuba merenung diri di samping mengingati detik-detik kejadian sebegitu sewaktu aku masih kecil dan waktu itu, aku menetap di rumah datuk nenekku, iaitu sebuah rumah papan yang penuh kenangan...:)

Malam ini,
Diselubungi dengan kegelapan,
Kerna kuasa cahaya arus kemodenan,
Hilang entah ke mana…

Malam ini,
Hanya bertemankan sinar cahaya dian,
Malap namun cukup berharga,
Menyinari diri dalam kegelapan,
Memberi insan secebis harapan…

Malam ini,
Kesunyian dipecahkan oleh titisan hujan,
Membawa nada ketenangan bagi insan kesepian,
Kerna titisan rahmat membuahkan keinsafan,
Buat insan yang bersyukur kepada Tuhan…

Malam ini,
Kumerenung diri ini,
Tercari-cari arah tujuan,
Kerna masa depan yang bakal ditempuhi,
Pasti penuh ujian dan dugaan…

Malam ini,
Pasti akan berlalu pergi,
Kerna esok pasti hadir,
Hadir membawa seribu erti,
Yang akan membawa perubahan diri,
Yang lahir dari perubahan hati…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan